[ BERITA: WARNA-WARNI AIDILFITRI 2019 (FITRI ‘19) ]


KAHERAH, 19 JULAI 2019 – Bersyukur ke hadrat Ilahi, program Warna-Warni Aidilfitri 2019 telah selamat melabuhkan tirai pada 6 Jun 2019. FITRI '19 adalah sebuah program yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) bagi meraikan anak-anak Wilayah Persekutuan yang menyambut hari lebaran di bumi Mesir. Ahli jawatankuasa program ini terdiri daripada 15 orang, 8 orang mahasiswa dan 7 orang mahasiswi. Program ini telah berlangsung selama 2 hari berturut-turut bermula pada 4 Jun 2019 sehingga 6 jun 2019.

Antara objektif FITRI ’19 adalah meraikan sambutan hari raya di perantauan dan mengeratkan ukhuwah antara anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir.





Program FITRI ’19 telah dimulakan dengan perutusan syawal yang telah disampaikan oleh YDP BKAWM sesi 2018/2019 iaitu saudara Muhammad Aiman Bin Md Rashid. Aktiviti diteruskan dengan video ucapan perantauan oleh ahli Wilayah Persekutuan yang beraya di bumi Mesir dan takbir raya di setiap rumah Asrama Baharu Wilayah Persekutuan. Selain itu, anak-anak Wilayah Persekutuan disajikan dengan makanan rohani yang telah disampaikan oleh saudara Amirul Hakim bin Mohd Razib, Penasihat BKAWM sesi 2018/2019. Aktiviti memasak kek dan merewang telah diadakan bagi mencungkil bakat dan merapatkan ukhuwah sesama ahli. Semua acara telah berjalan dengan lancar dan mengikut tentatif yang telah diatur. Kami sebagai ahli jawatankuasa program berpuas hati dengan sambutan ahli terhadap program yang dianjurkan. Terbukti program ini dapat merapatkan jurang antara anak-anak Wilayah Persekutuan yang lama dan baharu serta menitipkan nilai kerjasama di kalangan ahli.




Program FITRI ’19 telah melabuhkan tirai dengan rasminya pada 6 Jun 2019 bertempat di Surau Asrama Baharu Wilayah Persekutuan. Majlis penutup FITRI ‘19 telah dirasmikan oleh saudara Amirul Hakim bin Mohd Razib, Penasihat BKAWM sesi 2018/2019. Selepas itu, acara gilang-gemilang yang telah dinanti-nantikan oleh semua anak Wilayah Persekutuan iaitu majlis jamuan aidilfitri telah berlangsung. Semua anak Wilayah Persekutuan bertungkus-lumus membuat persiapan rumah terbuka. Hal ini secara tidak langsung telah menjayakan objektif FITRI ’19 iaitu mengeratkan ukhuwah sesama anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir.





Maka berakhirlah program FITRI ‘19 yang diadakan buat julung kali ini dengan jayanya. Meraikan aidilfitri diiktibar sebagai satu kemenangan buat umat islam yang telah berjaya menahan diri daripada makan dan minum serta melakukan segala perkara yang melakukan puasa.
Pihak program ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli jawatankuasa program yang telah banyak menyumbang tenaga dan masa demi memeriahkan suasana aidilfitri untuk anak-anak Wilayah di Mesir. Bersama kita memohon kepada Allah SWT menerima sumbangan kecil ini sebagai suatu yang barangkali dapat membantu kita meraih syurgaNYA. Tidak lupa juga kepada penyumbang tenaga secara langsung mahupun tidak langsung yang telah berjasa dalam menjayakan program ini.

Harapan kami agar sambutan hari raya aidilfitri pada masa akan datang dapat mengambil anjakan paradigma dan melaksanakan program dengan lebih baik dan mengambil inisiatif dalam keterlibatan ahli pada masa akan datang serta mengurus masa dengan baik antara tugasan, dan cabaran dalam menempuh peperiksaan pada masa akan datang.

Disediakan oleh:
MUHAMMAD RUSLI AKMAL BIN MOHD HAFIZ
Setiausaha, Warna-Warni Aidilfitri 2019 (FITRI ’19),
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir 2018/2019.

‘’TINGKATKAN KEIKHLASAN, SUBURKAN KEMAAFAN’’

‘’MENJUNJUNG KEILMUAN, MENJULANG KESATUAN’’  
‘’BKAWM KELUARGA KITA”
‘’BERSAMA BERSATU’’

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]