Tafaqquh Bersiri Membentuk Sinergi

KAHERAH, 25 Julai 2012 – Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2011/2012 (BKAWM) di bawah program Ramadhan and Eidul Fitri Celebration 2012 (REIDHWAN`12) dan dengan kerjasama Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) telah menganjurkan kelas tafaqquh bersiri yang diadakan di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP).

Kelas tafaqquh tersebut telah dirancang seminggu lebih awal oleh komuniti pelaksana REIDHWAN`12 dan Ihya Ramadhan (IHRAM) PERUBATAN. Unit Persiapan dan Teknikal (U-SET) REIDHWAN`12 telah menyiapkan dewan setengah jam sebelum kelas bermula manakala Unit Seliaan VIP dan Jamuan (U-SERVE) menyediakan juadah untuk syeikh berbuka puasa.

Syeikh Rohimuddin memulakan kelas sejurus selepas tiba di ARWP sekitar jam 5.00 petang. Beliau membentangkan buku bertajuk Kimia as-Saadah. Kehadiran mahasiswa pengajian Islam dan sains kesihatan dianggarkan seramai 70 orang. Turut hadir ialah Presiden PERUBATAN, saudara Wan Ahmad Hafizi bin Wan Ahmad Junaidi dan Yang Dipertua BKAWM, saudara Mohd Mawardi bin Mohd Zain.

Kelas ditangguhkan sekitar jam 6.45 petang untuk memberi laluan kepada syeikh dan semua yang hadir berbuka puasa dan solat Maghrib. Selesai solat Maghrib, syeikh meneruskan kelas tersebut dengan pembentangan buku bertajuk ‘Fathu Rabbani’.

Syeikh menamatkan kelas sekitar jam 9.00 malam. Pembentangan kedua-dua buku tersebut akan disambung pada minggu seterusnya. Penganjuran kelas ini yang dijangka akan berterusan pada setiap minggu sepanjang Ramadhan selaras dengan objektif pertama REIDHWAN`12 iaitu ‘Menghidupkan Ramadhan dengan ibadah dan thaqafah’.

Komuniti pelaksana REIDHWAN`12 dan barisan kepimpinan BKAWM sesi 2011/2012 menyeru kepada semua ahli yang berada di Kaherah mahupun di cawangan agar sama-sama hadir ke ARWP dan meramaikan lagi program ini.

"Amalan Dihayati, Ganjaran Dikongsi, Kegembiraan Dirai"

"Kesatuan Ukhuwah Pemangkin Kecemerlangan"


Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]