Kalam Pimpinan - Ramadhan Bulan Ibadah, Ukhuwah Dan Thaqafah
Alhamdulillah segala puji dan syukur kita panjatkan kepada Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan. Setinggi-tinggi pujian kita ucapkan kepadaNya kerana sekali lagi kita semua dipertemukan dengan bulan yang mulia dan penuh barakah ini iaitu bulan Ramadan al-Mubarak.
Selawat dan salam buat junjungan besar penghulu sekalian nabi dan rasul, Muhammad SAW dan seluruh ahli keluarganya, para sahabat baginda serta seluruh barisan alim ulama pengkaji ilmu yang bertungkus lumus memastikan Islam sampai kepada kita pada hari ini.
Pastinya kehadiran Ramadan yang dinantikan ini memberi seribu makna bagi seluruh umat Islam khususnya di bumi anbiya. Sepertimana yang kita ketahui, bulan Ramadhan, tersembunyi di dalamnya pelbagai kelebihan dan ganjaran yang telah Allah sediakan untuk hambaNya yang bersungguh-sungguh melakukan amal ibadah dengan ikhlas.
Setiap lapisan muslim berusaha beribadah dengan sebaik mungkin agar segala amal yang dilakukan diganjari pahala oleh Allah dan mendapat redhaNya. Puasa yang berkualiti bukan sahaja menjanjikan ganjaran yang bernilai dari Allah, bahkan kelebihan yang tersembunyi disebalik menahan makan itu akan melahirkan insan yang bertakwa sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa”.
Kebiasaannya apabila tiba bulan Ramadan, pasti orang ramai berpusu-pusu ke masjid untuk menunaikan solat Tarawih. Tidak dinafikan ada yang sibuk memilih masjid yang selesa dan menilai bacaan imam atas tujuan ingin mendapatkan khusyuk ketika solat Tarawih. Tidak ketinggalan juga ada yang menanti iftor dan moreh yang lazat bagi memenuhi kehendak nafsu makan setelah sehari suntuk menahan lapar dan dahaga.
Pelbagai karenah dan ragam boleh dilihat bagaimana seseorang individu muslim menyambut kehadiran Ramadan. Bagi yang berniaga sibuk mencari untungnya, yang berbelanja sibuk ke pasar mencari juadah berbuka dan bagi yang menanti atas dasar iman, mereka merindui dan menunggu Ramadan dengan ibadah serta tujuan yang khusus untuk menghadap Ilahi.
Ramadan tidak seharusnya disiakan, oleh itu terimalah kehadiran Ramadan dengan persiapan ibadah yang strategik. Puasa yang berkualiti, solat Tarawih di Masjid, memaksimumkan doa, memanfaatkan peluang bertadarus dan talaqi al-Quran, zikir yang berterusan, sedekah yang berganda dan memberi makan untuk orang yang berpuasa adalah antara amalan khusus yang dituntut dalam bulan Ramadan.
Percayalah setiap amalan yang dilakukan ada nilai dan ganjaran di sisi Allah. Teruskan mengejar redhaNya kerana amalan yang sedikit tetapi ikhlas itu lebih bernilai disisi Allah daripada amalan yang banyak tapi disebaliknya tersembunyi pelbagai sifat mazmumah.
Sempena kehadiran Ramadan kali ini, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2011/2012 (BKAWM) telah mengatur satu program khusus untuk anak-anak Wilayah Persekutuan bagi meraikan Ramadan. Dengan bertemakan “ Amalan Dihayati, Ganjaran Dikongsi, Kegembiraan Dirai” pastinya program yang diberi nama Ramadan & Eidul Fitri Celebration 2012 (REIDHWAN ’12) ini akan menatijahkan sesuatu yang bermanfaat khusus untuk anak-anak Wilayah Persekutuan di perlembahan Nil ini.
Selain dari mengukuhkan ukhuwah antara ahli dan meraikan perayaan dengan budaya dan peradaban Islam, REIDHWAN ’12 juga membawa mesej khusus kepada ahli BKAWM agar menghidupkan Ramadan kali ini dengan ibadah dan thaqafah. Bertepatan dengan itu, REIDHWAN ’12 telah menjemput Syeikh Rohimuddin dan beberapa tenaga pengajar lain bagi meningkatkan thaqafah ahli.
Selaku pengarah REIDHWAN ’12, dengan berbesar hati saya menjemput dan menyeru seluruh anak Wilayah Persekutuan khususnya ahli BKAWM yang berada di bumi Mesir ini agar turut bersama memeriahkan REIDHWAN ’12 agar matlamat dan objektif program ini tercapai.
Akhir kata salam Ramadan saya ucapkan kepada semua anak-anak Wilayah Persekutuan, terimalah Ramadan ini dengan sebaiknya, teruskan beribadah serta rebutlah peluang untuk beramal soleh sebanyak mungkin agar Ramadan tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya kerana mungkin ini adalah Ramadan terakhir untuk kita. Wallahua’lam.
“ Kesatuan Ukhuwah Pemangkin Kecemerlangan ”
Muhd Bazli bin Zakaria
Naib Setiausaha Agung,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir Sesi 2011/2012
Comments
Post a Comment