KEBERKATAN SYAFAAT IMTIHAN

بسم الله الرحمن الرحيم


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

               Alhamdulillah bersyukur kita kepada Allah SWT di atas segala nikmat kurniaannya, kerana dengan rahmat dan kasih sayang Allah kita masih lagi dapat meneruskan kehidupan, menghirup udara segar, kita masih mampu mengorak langkah ke hadapan dan berupaya mencapai segala cita-cita kita. Tidak lupa juga selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia, penghulu segala nabi, Saidina Muhammad SAW, ahli keluarganya yang mulia serta para sahabatnya yang bijaksana.

               Musim imtihan datang lagi dan pastinya masing-masing sibuk membawa diri sehinggakan ada yang sampai terlupa tanggungjawab terhadap Ilahi, terlampau sibuk 'study' sehingga lupa urus diri, terlalu fokus mengulang kaji sehingga sanggup mengurung diri. Apabila disapa kebisuan yang diberi. Hati-hati sahabat sekalian, usaha itu memang sangat perlu namun jangan sampai kita mengabaikan semua orang di sekeliling kita sehingga urusan Allah juga kita berkira. Usaha bukanlah yang menentukan kejayaan kita tapi kejayaan itu perlukan usaha.


               Ramai orang tidak sedar akan tingginya nilai keberkatan dalam mencapai sesuatu tujuan. Setiap usaha yang bersulam berkat pasti menatijahkan pengakhiran yang penuh hikmat. Sebelum kita melihat kuasa keberkatan dalam menatijahkan kecemerlangan dalam peperiksaan kita khususnya mari kita lihat apakah takrifan berkat menurut ulama.

Menurut para ulama ‘barakah' atau berkat itu adalah :-
هي ثبوت الخير الإلهي في الشيء؛ فإنها إذا حلت في قليل كثرته، وإذا حلت في كثير نفع، ومن أعظم ثمار البركة في الأمور كلها إستعمالها في طاعة الله عز وجل.

Ertinya : Iaitu kepastian kebaikan disisi Ilahi pada sesuatu perkara, yang mana apabila ia jatuh kepada perkara yang sedikit ia akan bertambah banyak, dan apabila ia jatuh kepada yang banyak, ia akan menambah manfaatnya, dan sehebat-hebat hasil keberkatan dalam seluruh perkara adalah apabila ia digunakan kembali untuk membawa ketaatan kepada Allah Azza Wa Jalla.

               Dalam kefahaman yang lain, kita boleh definisikannya  sebagai sesuatu yang sentiasa bertambah. Kerana ikhlasnya niat seseorang dalam perbuatannya, kerana tinggi komitmennya dalam melaksanakan tugasnya, keputusan yang diperolehi menjangkaui usahanya tanpa disangka. Dua konsep utama yang ingin diketengahkan dalam menghubungkan keberkatan dengan kejayaan iaitu :

1)     Menjaga hubungan dengan Allah ( حبل من الله)
Iaitu tidak menduakan suruhan Allah walau sesibuk mana pun kita, mengutamakan perintah Allah dalam setiap pekerjaan, meletakkan Allah sebagai punca utama kejayaan disamping berusaha dengan penuh yakin bahawa kejayaan itu datang dari Allah. Kita janganlah menjadi 'hamba imtihan' iaitu rajin beribadat ketika musim imtihan sedangkan sebelum dan selepas imtihan ibadahnya entah ke mana.

2)     Menjaga hubungan dengan manusia   (حبل من الناس)
Kita hendaklah menjaga perasaan orang di sekeliling kita dan tidak menyakiti hati mereka, berbuat baik dan menjaga adab sesama insan, sentiasa meringankan tulang membantu sahabat-sahabat mahupun orang yang memerlukan bantuan dengan penuh keikhlasan dan tidak mengharap sebarang balasan.

Insyaallah, sekiranya kita menitikberatkan akan kedua-dua konsep ini kita akan berupaya memperoleh keberkatan dalam setiap usaha kita dengan syarat setiap usaha itu bersandarkan kepada  Allah semata-mata.  Sememangnya keberkatan itu satu benda yang bersifat abstrak, namun kita sebagai hamba mampu berusaha apa yang terbaik dan sentiasa berfikiran positif terhadap segala ketentuan Allah. Keberkatan ibarat syafaat yang membantu kecemerlangan kita. Nikmat itu ujian, masalah itu juga ujian, hakikatnya ujian itu adalah untuk menjadikan kita seorang hamba-Nya yang kental dan profesional dalam menjalani kehidupan dunia yang penuh dengan fitnah dan tipu daya ini. " Only the tough one will survive". Selamat menjalani peperiksaan. Semoga semua berjaya mendapatkan yang terbaik. Salam perjuangan.

“BKAWM Keluarga Kita”
“Pemantapan Fikrah Tujang Kebersamaan”
Satu Fikrah Satu Amal


MIOR AHMAD FITRI BIN MIOR SHAHRIDAN
KETUA LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN
BADAN KEBAJIKAN ANAK WILAYAH PERSEKUTUAN MESIR
SESI 2014/2015
              



Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]