MENGHAYATI SAMBUTAN MAULIDUR RASUL
Alhamdulillah, bersyukur kita kepada
Allah yang masih meminjamkan kepada kita segala nikmatNya untuk terus menghela
nafas di sepanjang perjalanan kehidupan. Selawat dan salam ke atas junjungan
besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat baginda. Rabiul Awal begitu
sinonim dengan bulan keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Kini, kita sudah pun menjejakkan
kaki ke bulan yang penuh barakah iaitu bulan Rabiul Awal yang merupakan bulan
kelahiran kekasih kita yang tercinta Nabi Muhammad SAW. Meskipun tidak pernah
mengenali mahupun melihat susuk tubuh baginda, namun cinta baginda telah pun
mengalir dalam diri setiap umatnya sejak 1400 tahun dahulu sehingga membuatkan
kekasih Allah ini terlalu istimewa untuk
umatnya.
Saban tahun kita meraikan sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awal bertujuan untuk memperingati susuk tubuh kekasih ummah ini yang berjuang menyebarkan dakwah dan risalah kenabian sehingga hari ini kita dapat menikmati keindahan Islam ini sendiri.
Saban tahun kita meraikan sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awal bertujuan untuk memperingati susuk tubuh kekasih ummah ini yang berjuang menyebarkan dakwah dan risalah kenabian sehingga hari ini kita dapat menikmati keindahan Islam ini sendiri.
Allah SWT berfirman: “Tidaklah Kami utuskan
engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107).
Kelahiran (Maulid) Nabi adalah
sebesar-besar rahmat Allah kepada alam dan manusia keseluruhannya. Rahmat ini
ada dalam akidah, muamalah, akhlak, malah dalam semua bidang kehidupan. Rahmat
ini tidak hanya terbatas untuk manusia pada zaman baginda sahaja, tetapi ia
meluas ke sepanjang sejarah manusia seluruhnya. Memperingati, menyambut,
merayakan dan membesarkan Maulidur Rasul adalah amal yang merupakan salah satu
cara mendekatkan diri kepada Allah di samping meluahkan ungkapan kebahagiaan
dan kecintaan kepada Rasulullah . Haruslah diketahui bahawa cinta kepada
Rasulullah adalah salah satu dasar dan rukun keimanan. Sebagaimana sabda
Rasulullah :
“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku lebih dia cintai daripada orang tuanya dan anaknya serta manusia keseluruhannya.”
Ibn Rajab al-Hanbali berkata:
“Cinta kepada Nabi termasuk prinsip-prinsip dasar iman. Cinta ini seiring dengan cinta kepada Allah. Cinta kepada Allah dan Nabi sering disebut bersama dan mengancam sesiapa sahaja yang lebih mengutamakan kecintaan kepada perkara-perkara lain yang sudah menjadi tabiat manusia seperti cinta kaum kerabat, harta benda dan tanah air melebihi dari cinta kepada Allah dan Rasul.
Tidak hairanlah sambutan ini
diadakan saban tahun kerana ketika saat ini peluang dakwah juga dapat
dimaksimumkan terutamanya ketika menyambut Maulidur Rasul. Sambutan Maulidur
Rasul semestinya mensasarkan objektif untuk mengajarkan mereka yang belum tahu,
mengingatkan mereka yang alpa, mengukuhkan pegangan mereka yang telah dan masih
ingat serta memperbetulkan mereka yang tersasar dari kehidupan yang ditunjuk
oleh Rasul mereka. Itulah tanda kita sedang benar-benar memperingati baginda.
Itulah sebuah penghargaan dan syiar yang benar-benar tepat mengenai sasaran
sebuah sambutan terhadap baginda Nabi. Ini juga merupakan intipati dan
kandungan perjuangan Rasulullah yang mulia selama 23 tahun kehidupannya sebagai
seorang Rasul dan Nabi terakhir bagi seluruh bangsa manusia. Kita ingin
menyambut Maulidur Rasul dengan mengembalikan ingatan masyarakat terhadap
tatacara kehidupan yang layak untuk mendapat belas kasihan Allah dan syafaat
Nabi di akhirat.
BKAWM juga tidak ketinggalan untuk
menyambut Maulidur Rasul yang dianjurkan di bawah Lajnah Dakwah dan Pembangunan
Insan (LDPI) bagi menyuburkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam kalangan
ahli. Aktiviti yang disusun semuanya ingin menyuntik kesedaran dalam diri
mahasiswa dan mahasiswi untuk lebih mengenali dan mencintai kekasih agung nabi
Muhammad SAW agar kita dapat menjadi penyambung risalah nabi untuk ummah ini.
Sebagai umat Baginda , kita
dianjurkan untuk bergembira atas rahmat dan kurniaan Allah kepada kita,
lebih-lebih lagi kurniaan yang terbesar ialah dengan kelahiran Nabi Muhammad. Allah
berfirman:
“Katakanlah: Dengan kurniaan Allah
dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira dengan kurniaan Allah dan
rahmatNya itu, adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.” (Yunus:58)
Allah menyuruh manusia bergembira atas
rahmatNya. Rahmat apakah yang paling besar ke atas manusia dan alam
keseluruhannya jika tidak rahmat kehadiran Rasulullah.Imam As-Suyuthi memberi
pendapat tentang perayaan Maulidur Rasul di dalam Al-Hawi li al-Fatawa dengan
katanya:
“Menurutku, asal perayaan Maulid Nabi , iaitu
manusia berkumpul, membaca Al-Quran dan kisah-kisah teladan Nabi sejak
kelahirannya sehingga perjalanan hidupnya. Kemudian dihidangkan makanan yang
dimakan bersama, setelah itu mereka pulang. Hanya itu yang dilakukan, tidak
lebih. Semua itu tergolong Bid’ah Hasanah (sesuatu yang baik). Orang yang
melakukannya diberi pahala kerana membesarkan kedudukan Nabi, menampakkan
kesukaan dan kegembiraan di atas kelahiran Nabi Muhammad yang mulia.”
Dalam Madarij ash-Shu’ud Syarh al-Barzanji
disebutkan, Rasulullah bersabda:
"Siapa menghormati hari lahirku, tentu aku
berikan syafaat kepadanya di hari kiamat."
Sayyiduna Umar Ibn Khattab secara bersemangat
mengatakan: “Siapa yang menghormati hari lahir Rasulullah sama ertinya dengan
menghidupkan Islam”.
Maka, selaku kita yang mengaku umat
Nabi Muhammad SAW hendaklah menunjukkan rasa cinta kita kepada kekasih Allah
ini bukan sahaja di bulan kelahiran baginda bahkan setiap saat dan detik kita
perlu merasakan jerih perih baginda untuk meletakkan Islam sebagai syiar yang
tertinggi. Tidak kurang juga kita mengikuti setiap sunnah baginda dalam
kehidupan seharian di samping meletakkan diri sebagai pejuang agama Allah yang
menjadi sambungan rantaian perjuangan Rasullullah SAW. Justeru itu, BKAWM ingin
menyeru kepada semua ahli untuk sama-sama menyuburkan rasa cinta kita kepada
Rasulullah SAW. Semoga kita tergolong dalam golongan yang mendapat syafaat
baginda di akhirat kelak.
“BKAWM
Keluarga Kita”
“Pemantapan Fikrah Tunjang Kebersamaan”
Satu Fikrah Satu Amal
“Pemantapan Fikrah Tunjang Kebersamaan”
Satu Fikrah Satu Amal
TIMBALAN LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNGAN INSAN
BADAN KEBAJIKAN ANAK WILAYAH PERSEKUTUAN MESIR
(BKAWM) SESI 2014/2015
Comments
Post a Comment