BKAWM MENERIMA KEHADIRAN MAHASISWA/WI BARU

Kaherah, 8 Ogos 2015- Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) telah menerima kehadiran mahasiswa dan mahasiswi baru pada tarikh 29 Jun 2015 iaitu seramai 7 orang siswa dan 5 orang siswi. Mereka telah mengikuti rombongan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Selangor. Pada tarikh 23 Julai 2015 pula seramai 2 orang mahasiswa dan 3 orang mahasiswi telah tiba di Mesir secara persendirian dan disambut oleh BKAWM dan telah menjadikan jumlah mahasiswa dan mahasiswi baru pada sesi seramai 17 orang.

             BKAWM dengan kerjasama Pejabat Pengurusan MAIWP Mesir (PPMM) telah membantu menguruskan segala keperluan mahasiswa dan mahasiswi baru dari sudut penempatannya, pembelajaran dan juga urusan ujian kelayakan masuk ke kuliah. Perkara ini, bertepatan dengan objektif yang dibawa iaitu menjaga kebajikan mahasiswa dan mahasiswi baru dalam setiap lapangan.

               Pada 2 hingga 5 Ogos 2015 pula telah diadakan Hari Tautan Ukhuwah 2015 (HTU ’15) khusus kepada semua mahasiswa dan mahasiswi baru. Melalui program HTU ’15 mahasiswa dan mahasiswi baru diberi pendedahan mengenai Mesir dan Al-Azhar. Selain itu juga, mereka turut diberi pendedahan mengenai penggunaan Bahasa Arab Pasar sebagai persediaan untuk mereka berinteraksi dengan masyarakat arab di Mesir ini. Pelbagai modul juga telah disusun dan dijalankan untuk lebih memberikan kefahaman kepada mahasiswa dan mahasiswi melalui Gerak Kerja Berkumpulan.

               Aktiviti-aktiviti yang telah disusun di dalam program Hari Tautan Ukhuwah 2015 (HTU ’15) berobjektif untuk memupuk semangat ukhuwah dan kesatuan dalam kalangan mahasiswa baru bersama ahli BKAWM. Di samping itu, ia bertujuan untuk menyemai fikrah Islamiyah dan thaqafah kepada mahasiswa baru melalui pengisian yang disediakan.

               BKAWM merupakan sebuah badan kebajikan dan persatuan anak negeri yang berusaha memberikan kebajikan yang terbaik kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi Wilayah Persekutuan di Mesir sebagai platform menuntut ilmu-ilmu pengurusan juga thaqafah. Oleh itu, BKAWM telah menyusun pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat buat mahasiswa dan mahasiswi baru khususnya agar dapat melahirkan para pelapis yang menjaga nama serta kesatuan yang telah terbentuk sejak sekian lama dalam kalangan ahli-ahli BKAWM. Hal ini bertepatan dengan tema yang dibawa oleh USMB ’15 pada kali ini, iaitu “Mahasiswa Intelek Memimpin Kesatuan”. Besarlah harapan agar mahasiswa dan mahasiswi baru dapat mengambil manfaat daripada program ini dan juga bersama-sama menjaga ukhuwah yang telah terbina dalam BKAWM ini.

 “Mahasiswa Intelek Memimpin Kesatuan”
“Pemantapan Fikrah Tunjang Kebersamaan”
  Satu Fikrah Satu Amal



Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]