SUASANA KEMERDEKAAN YANG MERIAH

KAHERAH, 9 September 2015- Unit Kebudayaan, Kesenian dan Sukan BKAWM sesi 2014/2015 telah mengadakan Semarak Kemerdekaan 2015 (SEMARAK ‘15) bersempena Hari Kebangsaan 2015 pada minggu lalu. Seiring dengan tema Hari Kebangsaan 2015, iaitu “Sehati Sejiwa”, SEMARAK ‘15 telah berjaya dilaksanakan dengan mencapai beberapa objektif yang disasarkan oleh pihak penganjur.

Antaranya:

Menyuburkan semangat patriotik dalam kalangan anak-anak Wilayah Persekutuan.
Menyemai semangat kerjasama dan tolong menolong serta mengukuhkan ukhuwah sesama ahli.
Mencungkil bakat ahli khususnya dalam bidang kesenian.

Pelbagai aktiviti telah disusun bagi mencapai objektif-objektif tersebut. Program bermula dengan aktiviti Serambi Wilayah Gabungan dengan kerjasama Unit Perumahan dan Rehlah BKAWM sesi 2014/2015 pada 27 Ogos 2015 yang lalu.

Bermula sejurus selepas solat Isyak dengan tazkirah ringkas dan taklimat SEMARAK ‘15 yang disampaikan oleh saudara Muhammad Adnan bin Ahmad, Pengarah SEMARAK ‘15 di Surau Darul Madani, ASWP. Kemudian para peserta dibahagikan untuk menjalankan aktiviti seterusnya. Peserta siswa bergerak ke rumah Tingkat 3 ASWP untuk melaksanakan aktiviti membuat poster. Manakala siswi pula kekal di Surau Darul Madani dan menjalankan aktiviti melukis dan mewarna bendera Malaysia. Serambi Wilayah Gabungan versi kemerdekaan diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan. Kesemua hasil seni ahli BKAWM pada malam tersebut telah diserahkan kepada pihak SEMARAK ‘15 untuk dijadikan hiasan dewan dan pameran.
Selain itu, turut diadakan pertandingan sempena kemerdekaan ini. Beberapa kategori pertandingan telah dipertandingkan iaitu menulis sajak, karya kreatif dan wallpaper. Meskipun tempoh pertandingan yang singkat, iaitu daripada 27 Ogos 2015 sehingga 30 Ogos 2015, pihak SEMARAK ‘15 telah menerima banyak penyertaan daripada peserta. Hal ini membuktikan wujudnya semangat patriotik yang tinggi serta daya saing yang jitu dalam jiwa anak-anak Wilayah Persekutuan.


Pada 29 Ogos 2015 pula telah diadakan aktiviti Futsal Merdeka yang diadakan di Pusat Sukan Gunners, Hayyu Sadis. Futsal tersebut merupakan aktiviti gabungan bersama BKAN taakhi Zon A iaitu Majlis Kebajikan Keluarga Kedah. Futsal Merdeka bermula pada jam 6 pagi dan berakhir pada jam 8 pagi.

SEMARAK ‘15 sampai pada aktiviti kemuncaknya pada 31 Ogos 2015 iaitu Sambutan Kemerdekaan dan Majlis Penutupan SEMARAK ‘15. Bermula dengan solat Isyak dan solat sunat hajat secara berjemaah khusus untuk kesejahteraan Malaysia, majlis diteruskan pula dengan Forum Kemerdekaan: Perpaduan dalam Erti Kemerdekaan yang disampaikan oleh saudara Amar Arif bin Ahmad Po’aad, mantan TYDP KPIPM sesi 2012/2013 dan saudari Sofia Alwani binti Ali, mantan AJKT BKASM sesi 2011/2012 serta saudari Siti Hawa binti Ahmad, AJK Hisbah BKAWM sesi 2014/2015 sebagai moderator.

Kemudian majlis sambutan diserikan pula dengan persembahan pentomen daripada mahasiswa USMB dan persembahan sajak yang dideklamasikan oleh saudara Wan Syahmin bin Wan Zaini. Sebelum berakhir, majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Merdeka telah diadakan yang disampaikan oleh saudara Muhammad Yasin bin Awang, Yang Dipertua BKAWM sesi 2014/2015 dan saudari Nabihah binti Ahmad Rosdi, Timbalan Setiausaha Agung II BKAWM sesi 2014/2015. Tahniah diucapkan kepada para pemenang.

Akhir sekali, kami dari pihak UKKS mengharapkan agar ahli dapat mengambil manfaat daripada setiap aktiviti SEMARAK ‘15 dan lebih penting adalah dapat memahami erti kemerdekaan yang sebenar selaku mahasiswa Islam. Kerana kitalah generasi muda yang bakal mencorakkan masa depan negara yang kita cintai. Semoga kemerdekaan yang kita kecapi sekarang berpanjangan dengan sebenar-benar erti  kemerdekaan.

"Sehati Sejiwa"
“Pemantapan Fikrah Tunjang Kebersamaan”
Satu Fikrah Satu Amal






Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]