[ KALAM PIMPINAN: WASIAT LUQMANUL HAKIM ]


Bismillahirrahmanirrahim,

Luqman al-Hakim ialah orang yang disebutkan dalam al-Quran; surah Luqman. Beliau sangat terkenal kerana nasihat-nasihatnya terhadap anaknya.

Dikisahkan dalam satu riwayat bahawa Luqman al-Hakim telah memasuki satu pasar dengan menunggangi seekor keldai, sedangkan anaknya mengekori dari arah belakang. Melihat tingkah laku itu, orang berkata "Lihat itu, orang tua yang tidak bertimbang rasa sedangkan anaknya dibiar berjalan kaki". Setelah mendengarkan desas-desus daripada mereka, lalu Luqman turun daripada keldai dan meletakkan anaknya di atas keldai tersebut.

Melihat situasi yang kedua, lalu orang tersebut berkata "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya di atas keldai itu, sungguh kurang ajar anak itu". Setelah mendengar kata-kata itu, Luqman pun naik ke punggung keldai itu bersama anaknya. Kemudian orang berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor keldai, mereka sungguh menyeksa keldai itu". Luqman dan anaknya turun dari keldai itu kerana tidak suka mendengar percakapan orang. Kemudian terdengar lagi orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, dan keldai itu tidak ditunggangi".

Dalam perjalanan pulang, Luqman al-Hakim menasihati anaknya. Nasihat ini telah disebutkan dalam surah Luqman, ayat 13 sehingga 19.

1. LARANGAN MENYEKUTUKAN ALLAH

Firman Allah SWT:
وَإِذْ قَالَ لُقْمَٰنُ لِٱبْنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُۥ يَٰبُنَىَّ لَا تُشْرِكْ بِٱللَّهِ ۖ إِنَّ ٱلشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". (Surah Luqman: 13)

Secara umumnya, syirik terbahagi kepada dua bahagian iaitu syirik besar dan syirik kecil.

•SYIRIK BESAR
Syirik besar boleh membuatkan seseorang terkeluar daripada Islam dan menempatkan seseorang itu ke dalam neraka jika ia meninggal dunia dan tidak bertaubat kepada Allah. Antara syirik besar terhadapNya:

1. Syirik doa: seseorang itu berdoa dan meminta kepada selain dariNya.
2. Syirik niat: keinginan dan tujuan sesuatu ibadah adalah selain daripada Allah.

•SYIRIK KECIL
Syirik kecil tidak menjadikan seseorang itu keluar daripada agama Islam, tetapi ia mengurangi tauhid dan merupakan wasilah kepada syirik besar. Antara bentuk syirik kecil:

1. Syirik zahir, iaitu syirik kecil yang berbentuk percakapan dan perbuatan. Contohnya, "Kalaulah..., mesti akan..."
2. Syirik tersembunyi, iaitu syirik dalam hal keinginan atau niat. Sebagai contoh, riak dan sum’ah.

2. BERBUAT BAIK TERHADAP IBUBAPA

Firman Alah SWT:
وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُۥ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَٰلُهُۥ فِى عَامَيْنِ أَنِ ٱشْكُرْ لِى وَلِوَٰلِدَيْكَ إِلَىَّ ٱلْمَصِيرُ

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Luqman: 14)

3. SEDAR AKAN PENGAWASAN ALLAH

Firman Allah SWT:
يَٰبُنَىَّ إِنَّهَآ إِن تَكُ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِّنْ خَرْدَلٍ فَتَكُن فِى صَخْرَةٍ أَوْ فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ أَوْ فِى ٱلْأَرْضِ يَأْتِ بِهَا ٱللَّهُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ

"Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi." (Surah Luqman: 16)

Kita sebagai hambaNya hendaklah berhati-hati dengan setiap tingkah laku kita dan perlu beringat bahawa setiap apa yang kita kerjakan akan diletakkan atas neraca timbangan dan ada balasannya di akhirat kelak sepertimana yang telah disebutkan dalam al-Quran:

وَنَضَعُ ٱلْمَوَٰزِينَ ٱلْقِسْطَ لِيَوْمِ ٱلْقِيَٰمَةِ فَلَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْـًٔا ۖ وَإِن كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِّنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا ۗ وَكَفَىٰ بِنَا حَٰسِبِينَ

"Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung." (Surah al-Anbiya': 47)

4. MENDIRIKAN SOLAT, MENYERU MEMBUAT KEBAIKAN DAN MENCEGAH KEMUNGKARAN

Firman Allah SWT:
يَٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأْمُرْ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱنْهَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ..

" Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar." (Surah Luqman: 17)

Telah menjadi satu tuntutan sebagai seorang hamba untuk mendirikan solat serta menyeru untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Realitinya hari ini lebih ramai kelompok manusia yang menyeru untuk melakukan kebaikan, tetapi kelompok manusia yang mencegah kepada perkara yang mungkar terlalu sedikit.

Kita dalam golongan yang mana? Adakah golongan yang menjalankan amar makruf nahi mungkar dengan seiring atau hanya menyeru berbuat kebaikan sahaja? Tepuk dada tanya iman.

5. SABAR MENGHADAPI UJIAN

وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُور

"Dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya."  (Surah Luqman: 17)

Ujian yang diberikan olehNya merupakan tanda cintaNya pada hamba-hambaNya. Allah tidak akan menguji seseorang itu tanpa sebab. Kita juga perlu beringat bahawasanya setiap ujian yang Allah berikan itu ada jalan keluar. Sabar ialah kunci kejayaan untuk menempuhi ujian hidup.

6. TIDAK BERLAGAK SOMBONG

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِى ٱلْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." (Surah Luqman: 18)

Sifat sombong ialah sifat yang tercela dalam Islam dan sesungguhya sifat ini dibenci oleh Allah dan RasulNya.

Antara jenis sombong dan takabbur:

•Sombong kepada Allah: mengabaikan suruhan-suruhan yang telah diperintahkan oleh Allah, tidak takut kepada ancamanNya serta meremehkan syariat agama.
•Sombong kepada Rasul: tidak mahu mengamalkan ajaran dan sunnah Nabi Muhammad SAW, menghina dan memperlekehkan ajarannya serta sunnahnya.
•Sombong terhadap manusia: seperti memandang diri lebih daripada orang lain, tidak boleh menerima teguran, tidak suka bergaul dengan orang yang lebih rendah tarafnya dan pelbagai lagi.

7. MERENDAHKAN SUARA KETIKA BERBICARA

وَٱقْصِدْ فِى مَشْيِكَ وَٱغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ ٱلْأَصْوَٰتِ لَصَوْتُ ٱلْحَمِيرِ

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai." (Surah Luqman: 19)

Begitulah nasihat Luqman al-Hakim kepada anak kesayangannya. Bertuahnya Luqman kerana nasihatnya diabadikan dalam risalah teragungNya dan menjadi panduan buat sekalian umat. Semoga apa yang dinasihatkan oleh beliau dapat diterapkan dalam diri kita sendiri serta diamalkan sehingga ke akhir hayat. Wallahu’alam.

Disediakan oleh:
HUSNA BINTI KHIRUDIN
Timbalan Unit Penerangan dn Penerbitan
BKAWM sesi 2018/2019

"Menjunjung Keilmuan, Menjulang Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]