[ KALAM PIMPINAN: KEFAHAMAN ISLAM YANG SYUMUL ]


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi yang maha mengasihani.

Kami bersyukur pada hari ini kerana Engkau masih memberikan kepada kami dua nikmat yang besar iaitu nikmat Iman dan nikmat Islam. Tanpa kedua-dua nikmat ini, bukan siapa-siapa lah kami disisi Mu.

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam ini, selawat dan salam keatas junjungan besar nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.(Surah al-Baqarah, ayat 208)

Ayat diatas menjelaskan bahawasanya Allah SWT menyeru kepada semua orang beriman untuk berpegang dengan agama yang diredai-Nya iaitu agama Islam dan setelah memasukinya, wajiblah keatas penganutnya untuk mengikut segala hukum hakam yang ditetapkan oleh ajaran Islam.

Seterusnya, Allah SWT menyeru orang-orang beriman untuk tidak mengikut langkah-langkah syaitan kerana jelaslah bahawa syaitan itu musuh utama umat Islam.

Islam adalah agama yang diredai Allah Taala, seperti mana Allah SWT menyebut di dalam al-Quran, 
إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ 
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. (Surah ali-Imran, ayat 19)

Sesungguhnya agama Islam itulah yang paling sempurna, syumul dan sesuai diamalkan di sepanjang zaman.

Oleh yang demikian, yang  perlu difahami Islam itu seperti mana yang kita selalu dengar, 'Islam is the way of the life', ya benar, itulah maksud Islam yang sebenar dimana Islam itu adalah cara hidup yang mana boleh dikatakan disini, setiap perbuatan yang kita laksanakan perlulah disandarkan kepada Islam.

Kemudian, perlu difahami Islam itu agama yang lengkap dan syumul. Hal ini kerana, umat Islam hari ini dihantui dengan fahaman sekular yang mana mereka ini telah menyekat kesyumulan Islam itu sendiri, dan mengatakan bahawa Islam itu hanyalah pada ibadat semata-mata, hakikatnya perlu kita sedar bahawa Islam itu adalah pada semua perkara seperti dalam urusan berhutang, kehakiman, jihad, perniagaan dan hatta sekecil-kecil perkara pun Islam jelaskan, contohnya, dari segi adab berpakaian.

Selain itu, mahasiswa Islam itu juga perlu memahami dan sematkan dalam diri bahawa Islam itu meletakkan garis panduannya dalam setiap perkara seperti berniaga, bersukan dan berhibur pun Islam menunjukkan kepada kita tatacara dan batas-batas pelaksanaannya.

Begitu juga apa yang dibawa oleh Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM), kami cuba untuk membawa kesyumulan Islam itu sepertimana pembawaan Yang Dipertua pada sesi ini memfokuskan tiga perkara iaitu agenda kebajikan, thaqafah dan amar makruf nahi munkar dan kami cuba memastikan semua program yang kami laksanakan tidak melanggar syariat Islam.

Di kesempatan ini, amat besarlah harapan saya untuk mengajak semua mahasiswa/wi Islam di Mesir khususnya dan semua umat Islam umumnya agar memahami dengan jelas kesyumulan Islam itu dan mengaplikasikan gaya hidup Islam yang sebenar dalam setiap rutin harian hidup kita disamping banyakkan membaca sirah dan perjuangan nabi SAW, kerana dari sirah Nabi ini kita dapat mempelajari  bagaimana Nabi SAW memperjuangkan agama dan betapa perit dan susahnya nabi melalui semua rintangan demi menegakkan agama yang diredai Allah ini.

Akhir kalam, saya ambil dari kata-kata Umar Abdul Aziz, beliau menyebut: "Siapa yang beramal tanpa pengetahuan lebih banyak merosak berbanding mengelokkan". Oleh itu, dapat disimpulkan disini bahawa kefahaman yang benar itu dapat mendorong kita dalam melaksanakan sesuatu perkara dan semoga Allah SWT sentiasa membimbing kita menjadi diantara orang-orang yang faham.

Disediakan oleh:
AMIRAH UZMA BINTI MOHAMMAD SHARIFUDDIN
Naib Pengerusi HEWI,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2019/2020

"Memperkasakan Kebajikan, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]