[ KALAM PIMPINAN: MEMBASMI MAKSIAT DALAM KALANGAN MAHASISWA ]


Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan penguasa alam dengan izin-Nya dapat kita merasa nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam atas junjungan besar baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda. Semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang menerima syafaat baginda.

Firman Allah swt dalam Surah al-Anfal, ayat 25:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan peliharalah dirimu daripada azab yang bukan hanya menimpa orang zalim di kalangan kamu sahaja dan ketahuilah Allah amat keras azab siksa-Nya”

Dalam menjalani kehidupan seharian, seharusnya kita perlu berhati-hati dengan segala ujian yang menimpa. Sesungguhnya Allah SWT telah memberi peringatan dan menjanjikan azab yang pedih kepada manusia bukan hanya pada yang zalim, malah kepada yang beriman juga.

Bahkan dalam sebuah hadis, Baginda bersabda:

لم تظهر الفاحشة في قوم قط حتى يعلنوا بها الا فشا فيهم الطاعون ولأوجاع التى لم تكن مضت في أسلافهم الذين مضوا

Pertama: “ Tidaklah muncul perbuatan keji (zina) pada suatu kaum hingga mereka melakukannya secara terus terang kecuali Allah akan menimpakan kepada mereka wabak dan berbagai penyakit yang belum pernah menimpa kepada orang-orang sebelum mereka.”

Pada hari ini, tidak dinafikan lagi bahawa kemaksiatan dan kemungkaran semakin bermaharajalela. Aktiviti perjudian, pelacuran, perzinaan dan sebagainya memenuhi setiap inci muka bumi ini. Maka tidak hairanlah, mengapa Allah SWT menimpakan pelbagai bencana, wabak dan penyakit kepada kita pada hari ini. Lihatlah pada realiti yang berlaku seperti penularan wabak COVID-19. Sedih, namun apakah solusinya?

Mendepani arus kemodenan tanpa sempadan ini, pelbagai dugaan dan cabaran yang harus didepani para mahasiswa/wi. Lantaran itu, marilah kita renungi wasiat agung Baginda serta meyakini ianya sebagai satu solusi sepanjang zaman. Sabda Baginda:

يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج . فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج . ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء

(رواه البخاري رقم 4778 )

Nabi meninggalkan kepada umatnya 3 garis panduan dalam membendung nafsu, iaitu:

1. Menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan.
2. Berpuasa kerana ia adalah benteng.
3. Bernikah bagi yang mampu.

Hakikat yang perlu dirungkai di sebalik maksiat adalah dosa yang mengundang bencana. Bencana yang disebutkan Al-Imam Muhammad bin Abu Bakar adalah:

وَهُوَ مِنْ أَخْوَفِهَا عَلَى الْعَبْدِ
Ia (merupakan kesan daripada maksiat) yang paling ditakuti manusia.

أَنَّهَا تُضْعِفُ الْقَلْبَ عَنْ إِرَادَتِهِ ،
Ia akan melemahkah hati daripada mahu melakukan kebaikan,

فَتُقَوِّي إِرَادَةَ الْمَعْصِيَةِ ،
ia menguatkan kemahuan kepada maksiat,

وَتُضْعِفُ إِرَادَةَ التَّوْبَةِ شَيْئًا فَشَيْئًا ،
ia melemahkah kemahuan untuk bertaubat sedikit demi sedikit,

إِلَى أَنْ تَنْسَلِخَ مِنْ قَلْبِهِ إِرَادَةُ التَّوْبَةِ بِالْكُلِّيَّةِ
sehinggalah ia mencabut daripada hatinya semua keinginan untuk bertaubat.

Hakikat sebuah maksiat adalah seiring dengan sifat kekurangan dan kekhilafan seorang manusia. Oleh itu, ayuhlah sama-sama kita memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan kesempatan untuk bertaubat dan membasmi maksiat di bumi Allah ini secara menyeluruh.

اللهم حرمني لذة معصيتك وارزقني لذة طاعتك

Disediakan oleh:
WAN MUHAMMAD ASIF HIDAYAT BIN SHARUDIN
Setiausaha Agung,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2019/2020.

"Memperkasakan Kebajikan, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]