Bakti Siswa BKAWM Bersama Pelajar Tajaan MAIWP Sesi 2012

Kuala Lumpur, 10 September 2012 – Program Bakti Siswa anjuran Badan Kebajikan Anak Wilayah Mesir (BKAWM) Sesi 2011/2012 telah mengadakan pertemuan bersama pelajar-pelajar tajaan MAIWP yang akan melanjutkan pelajaran ke bumi Mesir samada dalam fakulti Pengajian Islam dan Sains Kesihatan. Program ini diadakan bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar-pelajar baru tentang kehidupan dan suasana pengajian di Mesir.

Program telah dimulakan pada jam 2.45 petang dan dipengerusikan oleh saudara Amer Syamiz bin Zainuddin. Slot pertama dimulakan dengan slot Pengenalan Mesir yang disampaikan oleh saudara Hamizan bin Abd Karim. Slot ini membincangkan tentang keadaan dan rutin-rutin harian pelajar Malaysia yang berada di Mesir. Beliau juga banyak menekankan aspek keselamatan dan komunikasi dengan masyarakat arab Mesir.

Slot kedua iaitu pengenalan BKAWM telah disampaikan oleh saudara Mohammad Adlly bin Mohammad Bokhari yang juga merupakan Penasihat BKAWM sesi 2011/2012. Antara intipati yang disampaikan oleh beliau adalah sejarah BKAWM, unit-unit penting di bawah BKAWM dan pengalamannya di Mesir. Beliau juga menasihatkan para pelajar agar menitikberatkan pengajian disamping menabur bakti dan tenaga kepada persatuan di sana.

Slot terakhir ialah aktiviti berkumpulan. Para pelajar dibahagikan mengikut jurusan masing-masing bersama dengan para fasilitator. Bagi kuliah pengajian islam dan qiraat, fasilitator yang terlibat ialah saudara Mohd Amir Rashid bin Abdul Hamid, saudara Faiz bin Mat Zaid, saudara Amer Syamiz bin Zainuddin dan saudari NurHaziratul Naim binti Sidek. Kuliah perubatan pula di kendalikan oleh saudara Afifuddin bin Sahlan, saudara Muhammad Afiq Hidayat, saudari Anis Suzanna Shah dan saudari Siti Hajar binti Abdullah.

Program ini berakhir pada jam 5.45 petang dengan sesi bergambar pelajar-pelajar tajaan bersama dengan wakil BKAWM. Ahli jawatankuasa Program Bakti Siswa dan BKAWM mengucapkan ribuan terima kasih dan sekalung penghargaan khususnya kepada pegawai-pegawai MAIWP yang terlibat secara langsung dan pihak MAIWP secara keseluruhannya. Semoga ukhuwah dan kerjasama yang terjalin antara BKAWM dan MAIWP dapat diperkukuhkan dan dieratkan lagi pada masa akan datang.

Selaku badan kebajikan yang menaungi anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir, BKAWM mengalu-alukan kehadiran dan mengucapkan selamat datang ke Perlembahan Nil kepada pelajar-pelajar tajaan MAIWP sesi 2012.

‘ Kesatuan Ukhuwah Pemangkin Kecemerlangan ‘

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]