Mesyuarat Agung Tahunan BKAWM Kali Ke 14 & Malam Inspirasi Budi

KAHERAH, 15 SEPTEMBER 2012 - Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke-14 dan Malam Inspirasi Budi telah berlangsung pada 15 September 2012 di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan menandakan berakhirnya saf kepimpinan bagi sesi 2011/2012 Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM). Program yang diadakan saban tahun ini juga bertujuan untuk melahirkan bakat-bakat baru dalam kalangan anak-anak Wilayah Persekutuan dalam berorganisasi selaras dengan kehendak Islam.

Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan Yang Dipertua sesi 2011/2012, saudara Mohd Mawardi bin Mohd Zain. Turut sama memberi ucapan adalah saudara Zulhafeez Mohd Zahidi, Timbalan Presiden, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Dalam ucapannya, beliau tidak lupa untuk menyelitkan kata-kata semangat untuk barisan kepimpinan sesi baru dan amat berharap agar mereka dapat melaksanakan amanah yang telah digalas dengan sebaik mungkin.

Ucapan perasmian pula telah disempurnakan oleh Encik Ahmad Yahya bin Mohd Haniff, Pengurus Asrama Rumah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Dalam ucapannya, beliau banyak menyentuh perihal isu semasa umat Islam serta berharap para mahasiswa tidak memandang enteng akan masalah ini.

Sesi persidangan telah dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Mawardi bin Mohd Zain dan berjalan dengan lancar dimulai dengan pengesahan minit mesyuarat, seterusnya laporan tahunan setiap jabatan, lajnah dan unit, laporan kewangan tahunan dan perbahasan usul. Sesi persidangan telah berjalan dengan cemerlang dengan adanya keterlibatan ahli secara aktif sepanjang persidangan tersebut. Persidangan tamat pada jam 4 petang dengan ucapan penggulungan oleh pengerusi mesyuarat.

Majlis diteruskan dengan slot daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) , iaitu sesi pengenalan bersama barisan Ahli Jawatankuasa Tadbir dan Hal Ehwal Wanita Islam bagi sesi 2012/2013.

Pada sebelah malam pula, Majlis Malam Inspirasi Budi diadakan bagi meraikan dan menghargai para aktivis BKAWM. Majlis dimulai dengan ucapan aluan oleh Yang Dipertua sesi 2012/2013, Ustaz Muhd Bazli bin Zakaria.

Para penerima anugerah telah dipilih dalam kalangan siswa dan siswi bagi menghargai sumbangan mereka yang telah banyak mencurahkan jasa dan bakti dalam memanifestasikan objektif penubuhan BKAWM sendiri. Antara anugerah tersebut ialah Pengarah dan Timbalan Pengarah Terbaik, PERMAS Terbaik, Tunas Harapan, serta Unit Terbaik. Tokoh yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Hairul Nizam bin Mat Hussain pula telah menerima Anugerah Emas BKAWM pada tahun ini.



Majlis diserikan dengan persembahan sketsa daripada kumpulan ‘Geng Fakhrol’ yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Acara cabutan bertuah turut diadakan sebagai selingan. Majlis diakhiri dengan jamuan makan malam.

Program demi program dijalankan setiap tahun tidak lain dan tidak bukan bagi mengutuhkan ukhwah yang terbina dalam jiwa setiap ahli kerana dengan unggulnya ukhwah akan terasa manisnya bersaudara sesama Islam. Semoga dari setiap program yang dijalankan akan mendapat rahmat dan naungan daripada Allah SWT.



"BKAWM Keluarga Kita"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]