Kalam Pimpinan: Mencapai Kejayaan Dalam Kehidupan
Dengan nama Allah yang Maha
Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah Rabbul
Izzati atas segala nikmat dan ujian yang telah dikurniakan oleh Allah SWT di
dunia mahupun di akhirat
kelak. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah SAW dan ahli keluarga
Baginda serta sahabat-sahabat Baginda.
Firman Allah SWT di dalam
Al-Quranul Karim :
Mafhumnya
: “Sesungguhnya
berjayalah orang yang beriman. (Iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah Al-Mukminun Ayat 1-2
Juzuk 18).
Kejayaan duniawi dan ukhrawi
merupakan antara elemen yang sentiasa disematkan dalam mentaliti insan rabbani
sebagai matlamat utama dalam kehidupan. Terdapat pelbagai bentuk kejayaan yang
dapat dilihat dalam aspek kehidupan rohani mahupun jasmani. Antaranya adalah
tahap intelektualiti seseorang individu yang sering diimpikan oleh golongan
mahasiswa seperti kita. Maka, unsur ini diserapkan dalam jiwa kita sebagai misi
dalam mengutip mutiara ilmu di Mesir ini khususnya. Indikatornya tidak lain dan
tidak bukan adalah kecemerlangan
akademik yang menjadi cerminan imej seseorang penuntut ilmu. Persoalannya, bagaimanakah kita ingin
mencapai kejayaan dalam kehidupan yang serba mencabar ini?
Kejayaan yang hakiki hanya mampu
dicapai menerusi fokus yang tinggi pada matlamat yang ingin dikecapi. Hal ini
kerana terdapat anasir-anasir luar yang cuba mempengaruhi minda kita dalam
menggapai impian kita. Antaranya ialah pengaruh Barat, hasutan syaitan dan hawa
nafsu. Sekiranya anasir-anasir luar ini tidak dibendung, maka misi kita akan mengambil
jangka masa yang panjang dan mungkin tidak dapat menghasilkan kualiti kecemerlangan yang diidamkan.
Kadangkala, kejayaan tersebut tidak dapat dihasilkan sama sekali angkara
benih-benih kurang baik yang mempengaruhi perjalanan ke arah matlamat kita.
Analoginya kita umpama nakhoda yang mengemudi kapal dan matlamat kita merupakan
destinasi kita. Sekiranya kita terpesong daripada jalan yang membawa ke arah
destinasi kita kerana tidak fokus terhadap tempat terakhir kapal bakal
berlabuh, maka tidak mustahil kapal akan karam di tengah lautan. Maka, kita
sebagai individu muslim wajib fokus terhadap matlamat kita sebagai hamba Allah,
khalifah Allah dan dai’e
Allah untuk mencapai puncak kecemerlangan.
Kisah Sultan Muhammad Al-Fateh seharusnya menjadi contoh
figura yang hebat bagi kita. Kejayaan beliau dalam menawan kota Konstantinopel
dalam usia muda merupakan hasil fokus beliau dalam memacu pergerakan tenteranya
untuk membuka bumi bersejarah ini. Semakin kita fokus terhadap sesuatu
matlamat, semakin mudah untuk kita menakluk kejayaan yang bukanlah angan Mat
Jenin semata-mata.
Sempena dengan permulaan fasa dua bagi pengajaran dan
pembelajaran di universiti, marilah sama-sama kita menanamkan azam untuk fokus
terhadap pelajaran sama ada pengajian Islam mahupun Sains Kesihatan. Perkara
ini bertujuan untuk memusatkan segala informasi yang bakal ditimba di medan
ilmu. Harapan ibu bapa kita untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam akademik
seharusnya dijayakan dengan sebaik mungkin sebagai target utama kita dalam
kembara ilmu di bumi kinanah ini. Justeru itu, kita selaku mahasiswa
proaktif seharusnya meningkatkan kecemerlangan akademik kita dengan
memperkasakan konsentrasi kita dalam memenuhkan ilmu di dada.
Kita di peringkat BKAWM sentiasa memegang
teguh terhadap kecemerlangan akademik sebagai salah satu elemen utama dalam
kebajikan anak-anak Wilayah Persekutuan yang berada di bumi kinanah ini. Hal
ini kerana kecemerlangan akademik merupakan indikator intelektual seseorang
individu. Namun begitu, untuk mencapai matlamat utama ini, fokus yang tinggi
wajib diwujudkan dalam jiwa semua ahli yang dikasihi. Maka, BKAWM sebagai
medium kesatuan anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir sentiasa memberikan
sokongan dan bantuan dalam meningkatkan pemacuan perhatian kita dalam akademik.
Justeru itu, kita sebagai ahli BKAWM yg bersatu atas dasar akidah Islam
sewajarnya mewujudkan konsentrasi yang tinggi dalam menimba ilmu di perantauan
ini untuk melahirkan mahasiswa proaktif selari dengan misi pertama BKAWM, dan kecemerlangan
akademik hanya boleh dikecapi menerusi fokus yang jitu.
Munira binti Mahammad Noor
Timbalan
Unit Pendidikan dan Pengetahuan
Badan
Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi
2013/2014
Comments
Post a Comment