[ BERITA : KURSUS KESETIAUSAHAAN 2016 ]

KAHERAH, 16 April 2016- Menyedari kepentingan berpengurusan dalam peringkat individu dan organisasi, Jabatan Setiausaha Agung (JASA) Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2015/2016 telah mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Kesetiausahaan 2016 pada 2 April yang lalu. Kursus yang bertemakan “Muslim Profesional, Generasi Insani” ini telah berlangsung di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan, Hayyu Sabik.

Bagi memastikan efisiensi kursus ini, ianya telah dijalankan secara tertutup dan telah disertai oleh 40 orang peserta yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Tadbir BKAWM, setiausaha Jabatan, Lajnah dan Unit BKAWM, para mentee BKAWM dan beberapa individu umum. Beberapa objektif telah digariskan oleh pihak penganjur, iaitu:
1)        Memberi pendedahan tentang cara mengurus majlis dan ilmu pengucapan awam.
2)        Melahirkan pelapis dan aktivis yang berkemahiran serta cekap dalam pengurusan organisasi.


Bermula dengan Majlis Perasmian program yang disempurnakan oleh Yang Dipertua BKAWM, saudara Adam Syukri bin Mohamad sejurus selepas selesai menunaikan solat Asar secara berjemaah. Seterusnya, kursus telah diteruskan dengan dua bentuk pengisian iaitu teori dan praktikal. Sebanyak tiga tajuk pengisian telah diadakan bagi mencapai objektif-objektif yang telah disebutkan. Slot pertama telah disampaikan oleh Dr. Imran bin Kasran, Jabatan Pembangunan Insan merangkap Jabatan Sukan dan Aktiviti Luar PERUBATAN sesi 2016/2017 yang bertajuk “Pengucapan Awam” dan disempurnakan dengan gerak kerja berkumpulan (GKB) yang dikelola oleh pengisi sendiri.
 
Kemudian, disambung pula dengan slot “Protokol dan Etiket Majlis” yang disampaikan oleh Ustaz Hasbullah bin Suhaimi, Penasihat Badan Kebajikan Mahasiswa Islam Pahang. Pelbagai ilmu tentang pengurusan majlis telah dikongsi oleh pengisi dengan fokus kepada majlis berprotokol. Slot ketiga pula iaitu slot kemuncak bagi kursus ini disampaikan oleh Setiausaha Agung BKAWM sesi 2015/2016, saudara Amirul Hakim bin Mohd Razib yang bertajuk “Peranan dan Skop Tugas Setiausaha”. Melalui slot inilah para peserta didedahkan tentang ilmu kesetiausahaan dan bagaimana menjadi setiausaha yang cemerlang. Bagi memastikan kefahaman peserta terhadap kedua-dua slot ini, aktiviti praktikal telah diadakan melalui GKB yang turut dikelola oleh kedua-dua pengisi dengan dibantu oleh beberapa orang fasilitator.

Sebelum berakhir, para peserta telah diperdengarkan dengan kalam penutup yang disampaikan oleh Pengarah Kursus Kesetiausahaan 2016, saudara Amirul Hakim bin Mohd Razib. Beliau mengharapkan agar para peserta dapat mengambil manfaat yang maksima terhadap penganjuran kursus ini.

Akhir sekali, pihak BKAWM mendoakan agar para peserta dapat meningkatkan kemahiran pengurusan seperti yang telah diajarkan oleh nabi Muhammad SAW sendiri. Semoga Kursus Kesetiausahaan 2016 ini mampu menjadi salah satu asas tambahan dalam kehidupan kita bagi memastikan setiap perancangan yang telah disusun terutama sekali dalam BKAWM dapat dijalankan dengan sebaiknya.



Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]