[RISALAH EKONOMI BKAWM: ASAS EKONOMI ISLAM]




Asas Ekonomi Islam 

          Ekonomi adalah sains sosial yang berkaitan dengan kehendak dan kepuasan manusia. Ia adalah cara masyarakat memilih untuk menggunakan sumber yang terhad untuk penghasilan barang-barang bagi kegunaan masa kini dan masa depan.

         Kewujudan kehendak manusia adalah titik permulaan semua aktiviti ekonomi di dunia. Boleh dikatakan ekonomi adalah sains kehendak. Tetapi dalam dunia sebenar, cara-cara untuk memenuhi keperluan kita adalah terhad. Masa dan wang adalah terhad. Dan tanah, buruh dan modal yang digunakan dalam pengeluaran adalah terhad. Walaupun sains telah menyatakan meningkatnya sumber atas usaha penerokaan dan sebagainya, keperluan kita juga telah meningkat. Dengan berlalunya masa, kehendak baru akan muncul dan tidak semua keperluan kita boleh dipuaskan kerana cara mendapatkannya adalah terhad.

          Ilmu ekonomi sepatutnya neutral, tetapi ia kerap terpengaruh kepada keadaan sekeliling. Takrif ilmu ekonomi sepatutnya dapat digunakan dan sesuai dengan sesiapa sahaja, sama ada bagi mereka yang beragama atau tidak, Islam atau bukan Islam. Berdasarkan kata-kata Ibnu Khaldun iaitu “ kehidupan manusia ialah daripada satu rupa dan keinginan kepada mendapatkan rezeki dan berusaha untuk mendapatkannya” (lihat Fachruddin 1982: 11). Maka tentunya bagi orang Islam, perbuatan mereka dengan alam benda dan usaha untuk mendapat rezeki mempunyai kaedah dan matlamat yang tersendiri.

        Islam merupakan sistem kehidupan manusia yang diasaskan berdasarkan keseimbangan, kesederhanaan dan keadilan. Dalam ekonomi Islam, ia adalah keseimbangan antara modal dan kerja, keseimbangan antara penghasilan dan pengeluaran, keseimbangan antara pembahagian pengeluaran bersama. Akram Khan (1984: 55) mentakrifkan ekonomi Islam sebagai kajian kejayaan (al-falah) manusia melalui pengurusan sumber bumi berasaskan kerjasama dan penyertaan. Sementara Hasanuzzaman (1984: 55) pula mentakrifkan ekonomi Islam sebagai ilmu pengetahuan dan penggunaan perintah dan peraturan syariat demi melindungi daripada ketidakadilan dalam perolehan dan penggunaan sumber asli bagi tujuan memenuhi kepuasan manusia dan bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah dan masyarakat seluruhnya.

       Masudul Alam Choudhury (1986: 4) mentakrifkan ekonomi Islam sebagai kajian sejarah, pengalaman dan teori bagi menganalisis keperluan manusia dan masyarakat berasaskan panduan sistem nilai Islam. Amin Mohd. al-Faysal al-Su’ud berpendapat ekonomi Islam ialah satu ilmu alat yang digunakan oleh manusia bagi memenuhi segala hajat individu dan masyarakat sesuai dengan peraturan syariat (dipetik danipada Hamzah dan Shahbari 1982: 3). Mannan (1980: 36) menganggap ekonomi Islam sebagai sains sosial yang mengkaji masalah ekonomi yang berlandaskan nilai Islam.

        Ekonomi Islam merupakan ilmu yang mengkaji kegiatan manusia yang selaras dengan kehendak syariat. Dari aspek usaha memperolehi, mengguna atau mengurus sumber asli untuk kebaikan diri serta kebaikan bersama secara kebendaan dan kerohanian adalah untuk mendapat keredaan Allah semata. (Hasan l990b: 11).

        Daripada berbagai-bagai takrif di atas, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diperhatikan. Pertama, ialah alat. Iaitu kelakuan individu berasaskan penggunaan alat yang dikenali sebagai sumber. Tanpanya, kehidupan manusia di bumi ini akan menjadi sukar. Allah telah melengkapkan kehidupan di dunia ini dengan sumber yang mencukupi. Konsep sumber dalam Islam adalah sesuatu yang bermanfaat (untuk dunia dan akhirat) (Hasan 1990a: 4).

        Kedua, ialah kaedah. Selain peranan sebagai individu sosial, individu Islam juga merupakan individu yang beragama. Sebagai individu yang beragama, maka kelakuan berekonominya adalah tunduk kepada panduan (hukum agama) sepertimana yang telah dinyatakan pada takrif di atas.

        Ketiga, ialah matlamat. Semua kegiatan tentunya mempunyai matlamat yang tersendiri, termasuk kegiatan ekonomi. Matlamat ekonomi Islam dapat dilihat pada dua peringkat, iaitu matlamat perantaraan dan matlamat akhir. Dalam takrif di atas, matlamat perantaraan dinamakan keperluan, kebaikan, kepuasan dan hajat. Manakala matlamat akhir dinyatakan sebagai tanggungjawab, keredaan dan al-falah. Matlamat perantaraan tidak akan ada nilainya di sisi Islam, kecuali matlamat itu dijadikan untuk mencapai matlamat yang sebenar. iaitu keredaan, dan al-falah. Oleh sebab objektif syariat adalah untuk kesejahteraan manusia dan seluruh alam, maka tujuan ekonomi Islam ialah untuk mencapai kesejahteraan dan kemenangan dunia akhirat. Dari sudut ini, skop ekonomi Islam lebih komprehensif kerana tidak terbatas kepada faktor-faktor ekonomi semata, tetapi juga merangkumi faktor-faktor bukan ekonomi, seperti nilai akhlak, etika, sosial dan politik, yang kesemuanya mempunyai peranan dalam mencapai kesejahteraan tersebut.

        Islam menangani soal ekonomi berdasarkan aqidah yang kukuh. Rezeki yang diberikan oleh Allah di dunia ini adalah mencukupi untuk seluruh makhlukNya. Kalau ada manusia yang mengatakan rezeki tidak mencukupi, maka itu merupakan kelemahan manusia sendiri, sama ada kerana tamak, kikir, mementingkan diri sendiri, boros, membazir atau kekurangan pengetahuan untuk mengenali atau memperoleh sumber-sumber lain atau yang belum dapat diterokai. Allah melalui kudratNya boleh membuka segala khazanah di dunia ini atau sebahagian sahaja, atau boleh menjelmakan sumber atau khazanah baru dengan hanya menyebutkan “kun” sahaja.


Nukilan:
Mohd Asrool Hasbullah Bin Shuib
Unit Penjanaan Ekonomi,
Unit Ekonomi BKAWM Sesi 2015/2016

Rujukan:
1.Ekonomi Islam (Dasar dan Amalan) – Surtahman Kastin Hasan
2.Economic Theory (TAMILNADU TEXTBOK AND EDUCATIONAL SERVICES CORPORATION) – College Road, Chennai.

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]