[ TINTA DAKWAH Bil 03: MENJADIKAN DUNIA JAMBATAN AKHIRAT ]



Bil 03: Menjadikan Dunia Jambatan Akhirat

             Imam Muslim dengan sanadnya meriwayatkan, diceritakan kepada kami oleh Muhammad bin Ishaq al-Musaiyibi, diceritakan kepada kami oleh Anas iaitu Ibnu I’yad Aba Dhomrah, daripada Musa bin ‘Uqbah, daripada Abdullah bin Umar, daripada Rasulullah SAW, baginda berkata, pernah ada tiga orang lelaki terperangkap dalam gua kerana hujan turun. Semasa berteduh di dalam gua berkenaan, sebuah batu besar daripada gunung tiba-tiba meluncur ke bawah dan menutupi pintu gua. Mereka berkata sesama mereka, “Mari kita mengingati kembali perbuatan baik (amal soleh) yang pernah kita lakukan kerana Allah SWT. Kemudian berdoa supaya Allah SWT memberi kemudahan kepada kita dalam situasi ini.”

         Salah seorang daripada mereka berkata, “Ya Allah, aku mempunyai ibu dan bapa yang telah sangat tua. Aku juga mempunyai isteri dan anak yang masih kecil. Aku mengembala kambing untuk memberi nafkah kepada mereka. Apabila aku pulang kepada mereka, aku akanmemberi ibu bapaku minum susu. Aku dahulukan mereka sebelum keluargaku. Pada suatu hari yang banyak pokok, ternakan aku membawaku jauh sehingga aku tidak pulang melainkan setelah petang (malam). Aku mendapati ibu bapaku telah tidur. Aku memerah susu seperti yang biasa aku lakukan. Aku pergi kepada mereka dengan perahan susu. Aku berdiri di sisi kedua-dua mereka berdua. Anakku berada dibahagian kakiku menangis kerana lapar. Aku dan mereka berada di dalam keadaan seperti itu sehinggalah terbit fajar.

Seandainya Engkau mengetahui bahawa aku lakukan hal seperti iu hanya kerana semata-mata mengharapkan redha-Mu, maka bukalah pintu gua ini kepada kami supaya kami dapat melihat langit.” Lalu Allah SWT membuka pintu gua berkenaan dengan sedikit bukaan, lalu mereka dapat melihat langit daripada celahannya.

Lelaki yang seorang lagi pula berkata, “Ya Allah, aku mempunyai sepupu perempuan yang cintai sepertimana cinta lelaki dan wanita. Aku meminta dirinya (melayaniku) tetapi dia menolak sehinggalah aku mampu memberikannya 100 dinar.

Aku telah berpenat lelah sehingga dapat mengumpulkan 100 Dinar tersebut. Apabila aku telah berada di antara kedua-dua kakinya, dia berkata, “Wahai hamba Allah, bertakwalah kepada Allah SWT! Janganlah engkau membuka cincin melainkan dengan haknya (cincin ialah perumpamaan bagi dara manakala hak pula ialah perkahwinan).” Lalu aku bangun menjauhinya.

Sekiranya Engkau mengetahui bahawa aku melakukan hal demikian hanya kerana mengharapkan redha-Mu, maka bukakanlah pintu gua ini buat kami.” Maka dibukakan sedikit celahan kepada mereka.

Manakala lelaki yang terakhir pula berkata, “Ya Allah, aku pernah mengupah seorang buruh dengan faraq (3 cupak) beras. Setelah kerjanya selesai dia berkata, “Berikanlah hak aku!” Maka aku pun memberikan faraqny, tetapi dia tidak suka dan tidak mengambilnya. Akhirnya aku terus menanam beras tersebut sehingga aku dapat mengumpulkan lembu dan pengembalanya.

Setelah itu, lelaki berkenaan datang semula dan berkata, “Bertakwalah kepada Allah dan janganlah engkau menzalimiku.” Lalu aku berkata kepadanya, “Pergilah kamu dengan lembu dan pengembalanya itu dan ambillah ia.” Lantas dia berkata kepada aku, “Bertakwalah kepada Allah dan janganlah mempermainkan aku!” Aku lalu berkata, “Aku tidak mempermainkan engkau. Ambillah lembu dan pengembala berkenaan.” Lantas dia mengambilnya dan pergi.

Seandainya Engkau mengetahui bahawa aku melakukan hal tersebut hanya semata-mata mengharapkan redha-Mu, maka bukalah celahan pintu gua ini yang masih berbaki.” Lantas Allah membukakan baki bukaan berkenaan. (HR Muslim)

Daripada hadith berikut kita lihat bagaimana tawakkal dan tawassul mereka kepada Allah SWT sehingga dapat menyelamatkan mereka daripada terperangkap di dalam gua. Lihat bagaimana keikhlasan mereka kepada Allah SWT serta takwa dan takut mereka kepada-Nya. Marilah sama-sama kita melakukan amalan dengan ikhlas. Ketika kita solat, solatlah dengan khusyu’. Berapa ramai manusia di akhirat nanti minta dikembalikan ke dunia hanya untuk beramal kepada Allah SWT. Ingatlah kita didunia ini hanyalah sebentar.
“Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jikakamu beriman dan bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak meminta harta-hartamu.” (Muhammad: 36)
Hidup adalah perjalanan, dunia hanyalah persinggahan. 

Allah berfirman, “Kamu tidak tinggal di bumi melainkan sebentar sahaja. Jikalau kamu sesungguhnya mengetahui. Maka apakah kamu mengira bahawa kami menciptakan kamu secara main-main sahaja, dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?” (al-Mukminun: 114-115)

Di dalam al-Quran, Allah tidak pernah memuji dunia. Rasulullah SAW di dalam hadis juga tidak pernah memuji dunia.

“Ketahuilah, sesungguhnya dunia itu dilaknat dan dilaknat pula apa yang ada di dalamnya, kecuali zikir kepada Allah dan ketaatan kepadaNya, seorang ‘alim, dan seorang yang menuntut ilmu.” (Hadith Hasan, diriwayatkan oleh Tirmidzi, Ibnu Majah, Baihaqi, Ibnu Abi ‘Ashim dan Ibnu ‘Abdil Barr). 

Seandainya dunia ini di sisi Allah SWT senilai harganya lengan sayap nyamuk nescaya Allah SWT tidak akan emmberi minum barang seteguk sekalipun kepada orang kafir.” (HR TIrmidzi)

“Baransiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasan, nescaya kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang mereka telah kerjakan.” (Hud: 15-16)

Dunia ini hanyalah jambatan menuju akhirat. Ibarat kita dalam sebuah perjalanan yang panjang menuju ke suatu destinasi, apabila badan terasa penat duduklah sebentar di bawah pohon, kemudian teruskan perjalanan setelah badan hilang penat. Pohon itulah dunia yang kita singgahi hari ini. Betapa sebentarnya kita di sini. Bagaimana kita rasa lamanya kita berada di bumi ini, ketahuilah akhirat itu tidak tertanding lamanya dengan dunia. Jikalau kita mengukur dunia dari saat kita lahir sehingga ke hari ini, maka kita akan mendapati bahawasanya kita di dunia ini sangat lama.


NUKILAN: INTAN FATIHAH BINTI PATEHI
DISEDIAKAN OLEH :
UNIT SURAU SRI PUTRA
LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN
BADAN KEBAJIKAN ANAK WILAYAH PERSEKUTUAN MESIR (BKAWM) SESI 2015/2016

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]