[ RISALAH BIAH SOLEHAH Bil 02: ERTI SEBUAH UKHUWAH ]



Bil 02: Erti  Sebuah Ukhuwwah Islamiyah 

Segala puji bagi Allah Yang Maha Esa. Selawat dan salam sejahtera kepada baginda Nabi terakhir, yang tiada Nabi sesudahnya.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يجب لنفسه "
(رواه البخارى) 

Maksudnya:
“Tidak sempurna iman seseorang kamu, sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri.”

Ukhuwah merupakan satu tautan hati yang terjalin antara sesama mukmin, yang mana iman dan aqidah menjadi asas penting berlakunya proses ukhuwah. Iman dan ukhuwah merupakan proses timbal balik sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Imam as-syahid Hassan al-Banna, “Ukhuwah kembarnya adalah iman, semakin tinggi iman seseorang semakin kuat ukhuwahnya dan semakin lemah ukhuwah seseorang itu, menunjukkan keimanannya yang semakin menurun.”

Persaudaraan yang terbina kerana Allah SWT merupakan tali iman yang paling kuat sebagaimana Rasulullah SAW bersabda mafhumnya, “Tali Islam yang terkuat adalah wala' kerana Allah, memusuhi kerana Allah, cinta kerana Allah, dan benci kerana Allah 'Azzawa Jalla."

Rasulullah SAW bersabda, “Setiap mukmin yang satu bagi mukmin lainnya bagaikan suatu bangunan, satu di antara lainnya saling mengukuhkan”. Rasulullah SAW juga bersabda, “Perumpamaan kaum muslimin dalam hal saling mencintai, saling menyayangi dan saling mengasihi itu adalah bagaikan satu tubuh. Jika salah satu bahagian tubuh merasakan sakit maka seluruh bahagian lainnya juga merasakan sakit sehingga tidak dapat tidur dan demam (kerananya).” [HR Bukhari]

Daripada hadith di atas, kita dapat mengetahui betapa pentingnya nilai ukhuwah dalam kehidupan seseorang. Begitu indahnya jika seseorang itu mengetahui manisnya ukhuwah dan betapa ruginya jika seseorang itu hidup tanpa berukhuwah. Nilai ukhuwah tidak akan dapat dibeli dengan wang ringgit, tidak akan cair di musim panas, tidak akan beku walau di musim sejuk, tidak akan luruh di musim hujan tetapi akan sentiasa mekar walaupun bukan di musim bunga selagimana ia dibajai denganiman dan takwa .

Apabila kita berukhuwah, kita akan melihat sejauh mana kadar takwa dan kebaikan yang dilihat dari saudaramu, sejauh itulah tulusnya cinta dan persahabatan yang anda berikan padanya. Sejauh mana tingkat zikir, ibadah, peringatan akan akhirat, perhatian terhadap ketaatan kepada Allah SWT dan dakwah di jalanNya yang memenuhi erti sebuah persahabatan, sejauh itulah eratnya persahabatan dan jalinan cinta yang terjalin di antara keduanya. Namun, .jika hubungan persahabatan kering dari butir-butir zikir, ibadah, saling menasihati, mengingati perihal akhirat dan mendorong semangat dakwah, maka kegersangan ukhuwah akan semakin terasa, lalu beralih menjadi permainan dan perdebatan sia-sia. Hati bertambah keras dan cepat bosan, sementara lagha membuka gerbang perselisihan dan akhirnya terjelmalah dosa sebagai dinding pemisah yang meleraikan ukhuwah dan memisahkan dua sahabat. Rasulullah SAW bersabda, "Tidaklah dua orang yang saling berkasih sayang kerana Allah berpisah, kecuali disebabkan oleh dosa yang dilakukan oleh salah seorang di antara keduanya.”

Memelihara ukhuwah lebih sukar dari membinanya. Setiap ukhuwah yang dibina atas dasar iman akan sentiasa diuji. Syaitan akan sentiasa mencari pintu-pintu yang boleh merosakkan ukhuwah yang terbina. Buruk sangka, sukar memaafkan, dendam, dengki dan sebagainya, ianya adalah gejala-gejala kerosakan ukhuwah yang begitu mudah berlaku apabila noktah bidayah atau starting point bagi ukhuwah itu tidak benar-benar dibina di atas dasar iman yang betul dan mendalam.

"Kemanisan ukhuwah itu adalah dengan memberi bukan dengan menerima". "Ukhuwah adalah natijah dari keimanan yang benar dan hidup.” Itulah erti sebuah ukhuwah. Bagi seseorang yang benar-benar beriman dan meyakini janji-janji Allah SWT, ganjaran untuk memaafkan tanpa diminta, berbaik sangka dan mendahului sahabatnya melebihi diri sendiri [Itsar]dan sebagainya akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk meraih janji-janji itu. Hatinya sentiasa sibuk mencari alasan untuk memaafkan saudaranya, sibuk berbaik sangka dan mencari peluang untuk mengutamakan sahabatnya melebihi dirinya sendiri.

Apa yang diharapkannya? Syurga dan keredhaan Allah SWT. Ia tidak mengharapkan ucapan terima kasih apatah lagi balasan. Keyakinan dan keimanannya menjadikan jiwanya dirasuk ukhuwah dan kebaikan hingga hilang sifat ananiyyah (pentingkan diri sendiri). Ia menjadi pemburu syurga sehingga menjadikan Itsar sebagai tunggangannya. Hatinya tertambat di akhirat sedangkan jiwanya telah terpikat dan tergila-gilakan keredhaan Allah SWT. Setiap kebaikannya ditaburi bunga-bunga ikhlas dan cinta. Setiap kecaman dan fitnah yang dilemparkan padanya ditadah dengan dulang pasrah dan redha. Ketahuilah wahai saudaraku, kemuncak bagi sesebuah ukhuwah islamiyyah itu ialah Itsar iaitu mementingkan saudara seaqidahnya lebih dari dirinya sendiri. Apabila seseorang itu “Salamatus Shodr”, berlapang dada terhadap saudara seiman maka Itsar akan terbentuk. Tetapi untuk mencapai tahap itsar itu bukan suatu perkara yang mudah. Hanya insan yang hatinya benar-benar bersih, tulus dan ikhlas dalam berukhwah akan sampai ke puncak itu.

Keteguhan Iman inilah yang menjadikan jiwanya gagah mendaki puncak ukhuwah hingga memperolehi buah-buah Itsar. Lalu dengan buah-buah itsar inilah ia membalas setiap lemparan kebencian dan dengki yang diterimanya hingga meruntuhkan tembok-tembok keegoan yang menghalang untuk tumbuhnya cinta dan persahabatan kerana Allah SWT. Itsar ini akan mampu melembutkan hati-hati yang keras, juga menjinakkan jiwa-jiwa yang liar serta memadamkan api-api permusuhan dan dendam lalu dengan izin Allah SWT hati-hati manusia menjadi bersatu di atas cinta dan Iman.

Tidak perlu lagi kita meliarkan pandangan ke sekeliling kita untuk mencari ukhuwah, tundukkanlah jiwa kita dan pandanglah sedalam-dalamnya ke lubuk hati kita. Adakah kita menemui ukhuwah? Di situlah tempat ia bersemayam. Bukan pada senyuman teman atau kekasaran kawan juga bukan pada penghargaan dan kebencian sahabat taulan.

Disediakan oleh: Unit Biah Solehah.
Lajnah Dakwah Dan Pembangunan Insan,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) 
Sesi 2015/2016

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]