[ KALAM PIMPINAN KETUA UNIT KEMASYARAKATAN, SUKAN DAN REHLAH: GALAKAN MENGEMBARA ]


Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmat serta inayahNya yang telah dicurahkan kepada hamba-hambaNya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan juga pengikut-pengikutnya serta sahabat-sahabat baginda. Bukanlah diri ini orang yang selayaknya tetapi terpanggil untuk berkongsi serba sedikit perkongsian berkenaan dengan “Mengembara”.

                Mengembara bermaksud perginya seseorang daripada tempat asal (tempat tinggal) ke wilayah lain untuk menjalani kehidupan atau mencari pengalaman. Aktiviti mengembara sudah dilakukan oleh manusia pertama iaitu Nabi Adam ‘alaihissalam selepas diturunkan ke dunia untuk mencari pasangannya Siti Hawa. Penghulu para Nabi, Muhammad SAW juga mengembara atau lebih dikenali dengan hijrah dari kota Mekah, iaitu tempat kelahiran baginda ke kota Madinah sekaligus membuka kerajaan di sana.

                Terdapat banyak kelebihan yang boleh diperolehi daripada pengembaraan yang dilakukan. Selain daripada pengalaman, mengembara juga mengajar seseorang untuk lebih berdikari dan mengasah kecekapan serta mengatur pengurusan kehidupan. Daripada pengembaraan juga kita dapat menambah kenalan rapat. Telah berkata Imam As-Syafie rahimahullah, “Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti dari orang yang engkau tinggalkan (kerabat dan sahabat).”

                Jika diingat kembali
ketika zaman kerajaan Majapahit, Palembang, serta Melaka, kesemua kuasa besar ini aktif merantau melihat dunia luar dengan pelbagai tujuan. Antaranya untuk menjalinkan hubungan diplomatik antara satu dengan yang lain dan tidak hanya menumpukan  pentadbiran di dalam negara sahaja. Ini membuatkan mereka matang dan kuat serta dapat mengetahui seterusnya mengaplikasikan di dalam negara perkara bermanfaat yang mereka dapat di luar negara.

                Kini, istilah mengembara atau merantau
yang lebih sinonim dengan perkataan “jaulah” atau “travel” telah menjadi aktiviti kebiasaan bagi mereka yang mempunyai waktu lapang dan ingin menambah pengalaman. Akan tetapi, kebanyakan daripada mereka kurang mengambil berat akan perkara-perkara yang menjadi kewajiban untuk ditunaikan seperti solat, pakaian yang menutup aurat dan sebagainya. Ini menjadikan “jaulah” atau “travel” tersebut tidak diikiraf sebagai suatu perjalanan yang baik kerana terdapat padanya suatu perkara yang bertentangan dengan syariat.

                Oleh itu,
walau ke mana sahaja kita melangkahkan kaki, hatta ke serata pelusuk dunia sekalipun ingatlah bahawa pengawasan daripada Allah SWT tidak pernah terlepas walaupun sedetik. Maka, pastikan sepanjang jaulah atau kembara yang dilakukan itu tidak ada perkara-perkara yang terlarang daripada agama dilakukan apatah lagi apabila dilakukan dengan tiada perasaan rasa bersalah. Alangkah indahnya jika sepanjang perjalanan diikuti dengan perkara-perkara sunat seperti mana yang dilakukan oleh para ulamak terdahulu mahupun sekarang. Ini menunjukkan bahawa Islam juga tidak terlepas dalam menjaga hal-hal berkenaan permusafiran.

                Akhir sekali, harapan daripada Unit Kemasyarakatan, Sukan dan Rehlah (UKSR) sendiri agar segala program kami dapat diambil segala manfaat  terutama pengisian yang diberi dan penghayatan melalui Jaulah atau Ziarah Maqam yang dianjurkan. Di
samping dapat mengisi ruang ahli dengan perkara dan aktivi yang bermanfaat. Selamat mengembara.


Muhammad Aiman bin Md Rashid
Ketua,
Unit Kemasyarakatan, Sukan dan Rehlah,
BKAWM sesi 2015/2016.


"Memperkasa Kefahaman, Meneguh Kebersamaan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]