USAHA MENCORAKKAN TAWAKAL

Seorang sahabat Rasulullah SAW datang menemui Baginda lalu Baginda menanyakan kepada sahabatnya, “Dengan apakah kamu ke sini?“. Sahabat itu menjawab, “Saya ke sini dengan menaiki unta“. Lantas Baginda bertanya lagi, “Di mana unta kamu sekarang?“. Sahabat itu menjawab lagi, “Saya letakkan di luar tanpa mengikatnya kerana saya berserah (tawakal) kepada Allah”. Kemudian Baginda menegurnya dengan berkata : “Ikatlah unta kamu itu kemudian barulah bertawakal“.

Kisah yang mudah dan ringkas tapi cukup untuk memberikan kita iktibar dan ibrah akan pentingnya usaha sebelum menyerahkan sebulat-bulatnya kepada Allah Taala. Bukan sedikit mahasiswa masa kini yang menjadikan konsep tawakal itu bersifat ‘sambil lewa’. Bagi mereka cukuplah sekadar acuh tidak acuh dalam berusaha dan ikhtiar dan selepas itu menjadikan konsep tawakal bersifat tidak sempurna. Mengharapkan kejayaan yang sekadar melepaskan batuk di tangga. Lupakah kita, hatta Nabi SAW yang telah dijanjikan kemenangan dan kejayaan oleh Allah SWT sekalipun masih lagi mempunyai strategi-strategi dan susun atur dalam usaha mengecapi kejayaan tersebut.

Dalam fatrah imtihan yang semakin hampir ini, marilah kita, mahasiswa islam, ahli BKAWM sekalian memperbetulkan semula konsep tawakal ini dengan berusaha sehabis boleh dan menjadikan kita ummah yang berkualiti. Kitalah yang akan mencorak kedudukan kita dalam masyarakat di Malaysia suatu hari nanti. Mana mungkin akan lahirnya seorang doktor dan ustaz/ustazah yang memenuhi tuntutan islam jika kita masih gagal merancang dan tidak berdisiplin. Ilmu yang dipelajari tetapi tidak diamalkan dan dipraktikkan akan hilang dibawa arus khayalan yang dirancang oleh minda-minda kita yang lemah dan tidak proaktif. Inginkan kejayaan namun malas untuk berusaha dan menyangka kejayaan akan datang bergolek di depan mata. Ingatlah kalam hukama’ : “BERUSAHALAH SEPERTI KITA AKAN HIDUP SELAMA-LAMANYA DAN BERIBADAHLAH SEPERTI KITA AKAN MATI KEESOKAN HARI”.

Sesungguhnya satu saat yang berlalu telah menjadi benda yang paling jauh dan mustahil untuk kita mengecapinya semula. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk ikhtiar seiring dengan doa lalu bertawakallah kepada Allah SWT. Bagi mereka yang telah memulakan langkah maka teruskanlah dan mereka yang masih belum merangkak sekalipun, mulakanlah derapan anda sekarang dan bukannya esok mahupun minggu depan. Ayuh sekalian kita bangkit mendepani cabaran dan bermujahadah dalam membina jati diri untuk menjadi kebanggaan ummah suatu hari nanti. WHAT YOU DO TODAY DETERMINE YOUR BECOMING TOMORROW !

CIRI-CIRI ORANG YANG BERTAWAKAL KEPADA ALLAH SWT :

1) MUJAHADAH – Seorang mahasiswa yang bertawakal dan hebat pergantungannya kepada Allah SWT tidak menjadikan sesuatu yang diamanahkan itu sebagai suatu yang sia-sia dan sentiasa berikhtiar dalam setiap pekerjaannya.
Firman Allah Taala : “Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sungguh Allah mencintai orang yang bertawakal“. (Surah Ali-Imran : 159)

2) BERDOA – Doa adalah lambang pengabdian hamba kepada Tuhannya iaitu Allah SWT. Mustahil Allah SWT tidak mengetahui apa yang dikehendaki kita namun berdoa menjadikan permintaan kita itu bersifat sempurna dan membuktikan Allah SWT mempunyai kekuasaan sedangkan kita hanyalah hamba yang lemah.
Firman Allah Taala : “Berdoalah kepadaKu nescaya akan Aku perkenankan bagimu“. (Surah Ghafir : 60)

3) BERSYUKUR – Mensyukuri segala apa yang diperoleh tanpa melihat besar kecilnya sesuatu yang diperoleh merupakan salah satu ciri orang yang bertawakal. Dengan bersyukur pada apa yang diperoleh, kita akan selalu berasa bahagia, puas dan senang hati.
Firman Allah Taala : “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku tambahkan nikmat kepadamu, tetapi jika kamu ingkar nikmatKu, maka pasti azabKu yang sangat berat“. (Surah Ibrahim : 6)

4) SABAR – Dari kesemuanya itu, apa pun takdir yang telah Allah SWT tentukan, maka terimalah dengan hati yang sabar dan reda. Dengan kesabaran, segala apa yang menimpa kita, jika itu suatu musibah maka tidak akan menjadikan kita putus asa dan jika itu suatu kesenangan tidak akan menjadikan kita lupa diri.

Firman Allah Taala : “Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (daripada Allah) dengan bersabar dan solat, sesungguhnya Allat bersama orang-orang yang bersabar.” (Al-Baqarah : 153)

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]