Risalah Biah Solehah: Kesempurnaan itu ada pada subuh berjemaah

KESEMPURNAAN ITU ADA PADA SUBUH BERJEMAAH

KEUTAMAAN SOLAT SUBUH :

1) Waktu yang diagungkan Allah

“Dan dirikanlah juga solat Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan oleh malaikat“. (Surah al-Isra’ : ayat 78)

2) Pahala beribadah satu malam penuh

Sabda Rasulullah S.A.W. : “Sesiapa yang solat Isyak berjemaah, maka seolah-olah dia telah solat separuh malam. Sesiapa yang solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah solat malam satu malam penuh“.

(Riwayat Ahmad, Muslim dan Ibn Hibban)

3) Berada dalam perlindungan Allah

Sabda Rasulullah S.A.W. : “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah. Maka jangan cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Sesiapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah akan menuntutnya sehingga Dia akan membenamkan mukanya ke neraka”. (Riwayat Muslim)

4) Dikurniakan cahaya pada hari kiamat

Sabda Rasulullah S.A.W. : “Berikanlah khabar gembira kepada mereka yang berjalan dalam kegelapan menuju ke masjid dengan bahaya yang sangat terang pada hari kiamat”. (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

5) Dapat melihat wajah Allah

Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah yang berkata dengan maksudnya : Kami sedang bersama Rasulullah ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata : “Sungguh kalian akan melihat Allah sebagaimana kalian melihat bulan yang tidak terhalang dalam melihatnya. Apabila kalian mampu jangan kalian menyerah dalam melakukan solat Subuh dan Asar, maka lakukanlah”.

6) Waktu terbaik membina kekuatan rohani

Rasulullah bersabda ”Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Subuh dan Isyak. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya sekalipun dengan merangkak“. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

MISTERI SOLAT SUBUH

Seorang pendeta Yahudi pernah menyatakan bahawa mereka (Yahudi) tidak takut dengan orang Islam kecuali apabila berlakunya suatu keadaan yakni setelah jumlah jemaah umat Islam yang solat Subuh menyamai jumlah jemaah solat Jumaat. Nah, jelaslah di sini sumber kekuatan keteguhan Islam berada dalam kesungguhan umatnya melaksanakan solat Subuh berjemaah. Mana mungkin kesatuan yang jitu dan kebal dapat dilahirkan jika kita umat Islam sendiri tidak mampu menarik selimut atau saratoga untuk bangun dan bermujahadah dalam Subuh berjemaah. Terlupakah kita pada teladan Salafussoleh suatu ketika dahulu yang menjadikan solat Subuh berjemaah sebagai suatu penanda aras bagi keteguhan iman dalam jiwa Muslim? Bagaimana didikan yang ditanamkan oleh Rasulullah S.A.W. kepada para sahabat untuk menjadikan Subuh berjemaah sebagai kewajipan sehingga Saidina Umar al-Khattab pernah mengatakan bahawa berjemaah dalam solat Subuh itu lebih baik baginya daripada solat malam. Imam Malik telah mengingatkan bahawa usaha pembaikan umat kali kedua tidak dapat dilaksanakan tanpa menggunakan kaedah pembaikan yang pertama. Jika Rasulullah S.A.W. dan para Salafussoleh berjaya kerana mereka benar-benar mengutamakan Subuh berjemaah, maka kita juga mesti mengutamakannya jika inginkan kejayaan seperti mereka. Oleh itu, bangunlah mahasiswa Islam pemangkin keutuhan umat sekalian, jangan biarkan musuh Islam duduk tersenyum melihat lakonan kita menentang mereka sedangkan perkara asas pembinaan jiwa pun kita masih gagal untuk melaksanakannya. Koleksi diri dan amal, siapa lagi yang akan merubah dan mengembalikan semula kegemilangan Islam jika bukan kita dan mereka.

SESUNGGUHNYA RAHSIA KEMANTAPAN UMMAH ADA PADA SOLAT SUBUH BERJEMAAH!

‘TOWARDS PROFESSIONAL MUSLIM‘

Sumber daripada : Majalah SOLUSI Bil. 36

Disediakan oleh : Unit Biah Solehah | Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan

Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) Sesi 2011/2012

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]