[ BERITA: SIMPOSIUM ILMUAN MUDA ISLAM 2018 (SOLUSI '18) ]
KAHERAH, 24-25 Februari 2018- Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri telah mengadakan Simposium Ilmuan Muda Islam 2018 (SOLUSI ’18) yang disertai oleh mahasiwa dan mahasiswi di perlembahan Nil. Majlis telah dirasmikan oleh wakil Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri, saudara Ahmad Muhaimin bin Mohd Zain, Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir.
Program ini
dibahagikan kepada lima slot sepanjang dua hari tersebut. Slot pertama
membincangkan berkenaan “Eskatologi Menurut Hadis Akhir Zaman” yang
dibentangkan oleh Syeikh Ali Abdul Basit Muzid yang merupakan pensyarah Hadis
wal Ulumuhu, Universiti al-Azhar. Slot ini lebih membincangkan berkaitan
perihal akhir zaman. Selain itu, membicarakan berkenaan tanda-tanda kiamat yang
berlaku di akhir zaman serta peranan kita dalam menghadapinya. Di samping itu,
tujuan slot ini adalah untuk melahirkan generasi yang optimis serta bijak
menghadapi zaman fitnah berteraskan wahyu.
Seterusnya, slot
kedua disampaikan oleh Ustaz Azhar bin Yahya yang membincangkan berkenaan
“Siasah Syar’iyyah” dalam pemerintahan negara dengan aplikasi maqasid
syar’iyyah dan fiqh sab’ah. Pengisian berkisarkan tentang maksud siasah
syar’iyyah dan kaitan sistem pemerintahan sesebuah negara dengan susunan fiqh
sab’ah serta kaedah fiqh yang paling sesuai untuk diserapkan dalam pemerintahan
sesebuah negara pada era modenisasi.
Kemudian
diteruskan lagi dengan slot yang ketiga iaitu “Kuasa Pemerintahan Islam” yang
disampaikan oleh Ustaz Zaharudin bin Muhammad. Pengisian berkisarkan tentang
kaedah Islam menyusun sistem pentadbiran mengikut al-Quran dan as-Sunnah.
Hari yang kedua,
diteruskan lagi dengan slot yang keempat yang bertajuk “Muslimat dan Non-Muslim
dalam Gerakan Islam” yang disampaikan oleh Ustaz Azhar bin Yahya. Pengisian ini
telah membincangkan maksud demokrasi dan peranan muslimat serta bukan Islam
dalam pemerintahan Islam. Seterusnya, slot kelima yang disampaikan oleh Ustaz Zaharudin bin Muhammad yang
membincangkan tentang “Sistem Ekonomi Islam”, di mana dalam pengisian ini
menjelaskan tentang sebab berlakunya salah laku dalam ekonomi Islam mampu
menyelesaikan permasalahan tersebut.
Kemudian, para peserta disajikan pula dengan alunan nasyid daripada
kumpulan al-Wadi selepas selesai sesi soal jawab bersama Ustaz Zaharudin bin
Muhammad. Program ini diakhiri dengan
majlis penutup dan ucapan daripada wakil Yang Dipertua Badan Kebajikan
Mahasiswa/wi Islam Pahang selaku perasmi majlis penutup dan penyerahan hadiah
cenderamata kepada pengisi sepanjang program selama dua hari. Akhir sekali, diharapkan para peserta dapat
mengutip sebanyak mungkin manfaat sepanjang program SOLUSI ’18 di samping
mengeratkan lagi ukhuwah sesama kita.
Comments
Post a Comment