[ KALAM PIMPINAN: MENDEPANI CABARAN SEBAGAI DAIE ]


[ KALAM PIMPINAN: MENDEPANI CABARAN SEBAGAI DAIE ]

Bismillahirrahmanirrahim,
Segala puji bagi Allah, Tuhan penguasa alam dengan izin-Nya dapat kita merasa nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam atas junjungan besar baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda. Semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang menerima syafaat baginda.

وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَى رَبِّ الْعَالَمِين
“Dan sekali-kali aku tidak minta upah kepada kalian atas ajakan itu; upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semesta alam.” (Surah as-Shuara’: 127)

Dakwah adalah usaha untuk mengembalikan manusia kepada agama fitrah. Tugas ini menjadi tugas semua orang Islam. Dalam membawa masyarakat kembali kepada agama fitrah, ia bukanlah suatu tugas yang mudah. Disajikan dengan ujian dan cabaran adalah satu kemestian bagi mereka yang mengatakan mengikut jalan dakwah nabi.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, usaha musuh-musuh Islam tidak berkurang sedikit pun dalam melemahkan pegangan umat Islam bahkan, mereka semakin rancak menyusun strategi untuk menjatuhkan Islam itu sendiri. Hidup dalam arus pasca-modenisme dan pasca-islamisme menjadikan penyampaian risalah Islam itu semakin mencabar.

Dalam arus ini, umat Islam bukan lagi  bermain dengan peperangan pedang semata yang mana bila tertusuk pedang akan mati syahid, tetapi umat kini disajikan dengan tujahan serangan pemikiran dan ideologi yang bermain dengan pegangan dan akidah umat Islam. Kemunculan ideologi dan fahaman yang pelbagai ini telah berjaya mengelirukan umat Islam terhadap akidah dan hukum-hukum Islam yang sebenar. Tanpa ilmu dan kefahaman yang benar mampu merosakkan akidah umat Islam.

يُرِيدُونَ أَنْ يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلَّا أَنْ يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
“Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir tidak menyukai” (Surah at-Taubah: 32)

Dapat kita melihat golongan barat dan musuh-musuh Islam berusaha menghilangkan identiti umat Islam sedikit demi sedikit dengan mengubah dan menghapuskan sistem Islam, bermula daripada sebesar-besar kesatuan Islam sehinggalah sekecil-kecilnya. Namun, berbekalkan ilmu dan kefahaman sebahagian penggerak dan pendakwah Islam, tugas menyebarkan pemikiran Islam yang tulen itu masih lagi terlaksana.

Janji Allah itu pasti. Sekeras mana usaha golongan musuh Islam dalam memadam cahaya Allah, ianya takkan sekali-kali berhasil.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا خُذُوا حِذْرَكُمْ فَانْفِرُوا ثُباتٍ أَوِ انْفِرُوا جَمِيعاً 
“Hai orang-orang yang beriman, bersiap siagalah kalian, dan majulah (ke medan perang) berkelompok-kelompok, atau majulah bersama-sama!” (Surah an-Nisa’: 71)

Penyebaran pemikiran Islam yang tulen tidak hanya tertumpu kepada orang Islam sahaja, bahkan berdakwah dan memberi kefahaman tentang Islam kepada orang bukan Islam juga sangat dituntut.  Melihat fenomena kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia, umat Islam takkan terlepas daripada bermuamalat dengan golongan bukan Islam.

Umat Islam dibenarkan untuk berbuat baik, berlaku adil, berlemah lembut dan tidak melampaui batas terhadap mereka selagi mana mereka tidak menzahirkan penentangan, permusuhan dan memerangi umat Islam. Namun begitu, Islam amat menitikberatkan umatnya agar sentiasa berwaspada terhadap golongan kafir dan munafiq, kerana sikap licik munafiq sangat membahayakan umat Islam.

Saidina Umar R.A juga mengenali ramai daripada orang munafiq itu bersifat baik dan wara’.

أَفَكُلَّمَا جَاءَكُمْ رَسُولٌ بِمَا لَا تَهْوَىٰ أَنْفُسُكُمُ اسْتَكْبَرْتُمْ فَفَرِيقًا كَذَّبْتُمْ وَفَرِيقًا تَقْتُلُونَ
“Apakah setiap datang kepadamu seorang rasul dengan membawa apa yang tidak diingini dirimu kamu menjadi takabur, maka sebahagian kamu dustakan dan sebahagian lagi kamu bunuh.” (Surah al-Baqarah: 87)

Sebagai peringatan bersama, janganlah kita hanyut dalam arus peredaran zaman sehingga memberi kesan kepada pergerakan dakwah. Lebih memikirkan kepelbagaian cara berdakwah berbanding isi dan hasil dakwah.

Mencontohi dakwah Rasulullah SAW dengan memberi dan menyampaikan apa yang diperlukan oleh umat manusia walaupun tidak menepati selera mereka. Perlu diingat bahawa dakwah adalah untuk membawa mereka kepada Allah dan mengenal Islam. Kualiti dakwah itu dilihat daripada kesan dan isi dakwah tersebut bukan sekadar ramainya bilangan pengikut. Dakwah bukan medan untuk mengejar populariti.

Julaibib seorang sahabat Rasulullah SAW yang boleh dijadikan contoh buat pemuda, dia memilih untuk berjuang di jalan Allah lebih daripada memilih isteri yang baru dikahwininya dan kebahagian dunia, yang akhirnya mendapat syahid.

Berkata itu mudah berbanding melaksanakan. Jadikanlah BKAWM ini sebagai satu pemangkin untuk menyampaikan risalah Islam yang tulen. Untuk mendapatkan kesatuan Islam yang besar mulalah daripada yang sekecil-kecilnya.

Kata murabbi, “tiada jaminan bahawa kita akan terus istiqamah di atas jalan ini (dakwah). Bersabar dan berdoa supaya Allah memilih kita.”

Akhirnya, biarkan mereka terus berbicara kerana mulut itu milik mereka, sedang gerak kerja ini perlu diteruskan kerana ia tanggungjawab kita.

Disediakan oleh:
Nur Aeni binti Mohamad,
Timbalan Bendahari Agung BKAWM sesi 2017/2018


“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”
“BKAWM Keluarga Kita”
“Bersama Bersatu”

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]